Sunday, April 19

Billie Eilish derma £9.4 juta, sempat sindir Zuckerberg

Oleh BIANCA HILMAN

PEMENANG Grammy dan Oscar Billie Eilish mencuri tumpuan di Anugerah Inovator Majalah Wall Street Journal apabila menggunakan pentasnya bukan sekadar untuk menerima anugerah, tetapi juga menyampaikan mesej lantang kepada para bilionair — termasuk Mark Zuckerberg yang turut hadir malam itu.

Dalam ucapan penerimaan bagi kategori Inovator Muzik, artis berusia 23 tahun itu menyeru empati, tindakan, dan pengagihan semula kekayaan.

“Kita hidup dalam zaman yang gelap dan sukar,” katanya. “Jika anda mempunyai wang, gunakannya untuk perkara baik — mungkin berikan kepada mereka yang memerlukan.”

Mesej ucapan Eilish bukan sekadar kata-kata kosong (FOTO: Medsos).

Eilish kemudian menambah dengan nada bersahaja namun menyengat:

“Sayang anda semua, tapi ada beberapa orang di sini yang jauh lebih kaya daripada saya. Jika anda seorang bilionair, mengapa anda masih seorang bilionair? Tiada kebencian, tapi ya…dermakan wang anda.”

Menurut saksi yang ditemui majalah People, Zuckerberg dilaporkan ‘tidak bertepuk tangan’ selepas ucapan Eilish tersebut, sementara ramai hadirin lain kelihatan tergamam.

Namun, mesej Eilish bukan sekadar kata-kata kosong. Awal malam itu, pengacara Stephen Colbert mengumumkan bahawa penyanyi itu telah mengumpul dan menderma £9.6 juta hasil daripada jelajah dunianya Hit Me Hard and Soft. Dana berkenaan disalurkan melalui program Changemaker bagi menyokong projek tindakan iklim dan keadilan makanan.

Susulan tularnya klip ucapan tersebut, carian Google untuk ‘nilai bersih aset kekayaan Billie Eilish’ melonjak mendadak.

Menurut Forbes, bintang muda itu dianggarkan memiliki aset kekayaan terkumpul mencecah £44 juta — hasil daripada muzik, jelajah, serta jenama minyak wangi vegan miliknya.

Berbeza dengan ramai selebriti lain, Eilish konsisten memperjuangkan kelestarian. Jelajahnya bebas plastik, makanan untuk kru disediakan berasaskan tumbuhan, dan barangan dijual menggunakan fabrik kitar semula.

Pada tahun lalu, dia turut mengkritik artis-artis nama besar yang menjual berpuluh versi vinil demi keuntungan semata-mata.

“Anda masih boleh cipta perkara hebat secara lestari,” tegasnya.

Dengan sikap berani menyuarakan kebenaran, walau di hadapan para bilionair; Billie Eilish yang juga lantang menyuarakan soladiriti terhadap rakyat Palestin membuktikan bahawa dia bukan sekadar ikon muzik, tetapi juga suara generasi muda yang menuntut perubahan dalam erti kata sebenar.