
Oleh BIANCA HILMAN
Elon Musk sekali lagi mencetuskan kontroversi di platform X apabila menggelar seorang pengguna bernama Tom Holland sebagai ‘c**k’ ketika perdebatan mengenai filem terbaharu arahan pengarah prolifik Christopher Nolan, The Odyssey.
Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial kerana ramai menyangka Musk menyasarkan pelakon Tom Holland yang terkenal menerusi watak Spider-Man dan siri filem superhero Marvel itu; yang turut membintangi The Odyssey.
Sebenarnya, individu yang dimaksudkan Musk ialah Tom Holland, seorang ahli sejarah dan penulis British, yang berkongsi pandangan positif mengenai filem tersebut di X.

Pada 7 Julai 2026, ahli sejarah itu berkongsi ulasan positif daripada The Guardian sambil menulis:
“Lebih banyak pujian untuk The Odyssey daripada orang yang – mengejutkan – sebenarnya telah menunggu untuk menontonnya sebelum memberikan pendapat mereka.”
Dalam satu lagi hantaran pada hari yang sama, beliau turut berkata:
“Ramai orang memberitahu saya bahawa The Odyssey ialah filem yang teruk walaupun mereka tidak pernah menontonnya.
“Untuk makluman anda, saya kini telah menontonnya dua kali, dan ia merupakan adaptasi sinematik terbaik mitos Yunani yang pernah saya lihat. Ia menghormati karya Homer sambil menghasilkan sesuatu yang baharu.”

Tidak lama kemudian, Musk membalas dengan hantaran ringkas yang menggelarkan ‘Tom Holland’ sebagai ‘c**k’, tanpa menjelaskan sama ada beliau merujuk kepada ahli sejarah atau pelakon Tom Holland.
Namun, konteks balasan itu menunjukkan ia ditujukan kepada ahli sejarah berkenaan.
Kenyataan tersebut segera tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ramai pengguna media sosial pada mulanya menyangka Musk menyerang pelakon Tom Holland, sekali gus mencetuskan gelombang meme dan kekeliruan.
Netizen lain kemudian menjelaskan bahawa sasaran sebenar ialah ahli sejarah yang berkongsi nama yang sama.
Insiden ini berlaku ketika Musk terus lantang mengkritik The Odyssey. Sebelum ini, beliau turut mengkritik beberapa aspek filem tersebut, termasuk pemilihan pelakon dan isu yang dikaitkannya dengan agenda kepelbagaian.
Apa yang perlu diketahui mengenai The Odyssey

The Odyssey ialah filem epik aksi fantasi arahan Christopher Nolan yang diadaptasi daripada karya klasik Yunani, The Odyssey, hasil tulisan penyair Homer yang berusia lebih 3,000 tahun.
Filem ini menjadi susulan kepada kejayaan Oppenheimer dan merupakan antara naskhah Hollywood paling dinanti-nantikan tahun 2026.
Dari segi kos pembikinan, The Odyssey dilaporkan menelan belanja sekitar AS$250 juta (kira-kira RM1.06 bilion), sekali gus menjadikannya filem paling mahal pernah dihasilkan Christopher Nolan.
Ia juga merupakan filem pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera IMAX generasi baharu.

Filem ini dibintangi barisan pelakon terkenal termasuk Matt Damon sebagai Odysseus, Tom Holland sebagai Telemachus, Anne Hathaway sebagai Penelope, Zendaya sebagai Athena, Robert Pattinson sebagai Antinous; selain Lupita Nyong’o, Charlize Theron, Jon Bernthal, Benny Safdie, John Leguizamo, Himesh Patel, Samantha Morton, Mia Goth dan beberapa lagi pelakon ternama.
Dari segi jalan cerita, The Odyssey mengisahkan pengembaraan panjang Odysseus, Raja Ithaca, yang berusaha pulang ke tanah air selepas Perang Trojan.
Perjalanan selama sedekad itu dipenuhi pelbagai cabaran termasuk berdepan dewa-dewi, raksasa, makhluk mitologi dan pelbagai ujian yang menguji keberanian, kesetiaan serta ketabahannya untuk kembali kepada isterinya, Penelope, dan anaknya, Telemachus.
The Odyssey dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 17 Julai 2026, termasuk dalam format IMAX. Tayangan awal di beberapa negara bermula sehari lebih awal, bergantung kepada pasaran tempatan. VOOLORA 8/7/2026
