Saturday, May 30

Kontroversi Yusuf Azmi-Jojo: KBS sahkan kejohanan WWC tak dapat kelulusan

Oleh BIANCA HILMAN

KEJOHANAN Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan secara rasmi.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebarang penganjuran sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya di laman Facebook pada hari ini.

“KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara.

“Bagi sebarang penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak mendapatkan kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, Akta 576,” tegas kenyataan itu.

Poster kejohanan WWC International Influencer Super Lightweight Champion antara Yusuf Azmi dan Yunus Martin (FOTO: Medsos).

Terdahulu, kejohanan tersebut mengundang kontroversi susulan  gimik yang dikatakan agak keterlaluan dibuat oleh petarung Malaysia iaitu Yusuf Azmi dengan petarung Indonesia, Yunus Martin.

Merujuk poster dalam media sosial, kedua-dua petarung itu dijadualkan akan berentap pada WWC International Influencer Super Lightweight Champion pada 6 dan 7 Disember 2025.

Gimik Yusuf undang kritikan Jojo

Terpanggil memberikan komen terhadap gimik tersebut, jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo tampil menegur Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia itu.

Kenyataan Jojo dalam ruangan komen di instagram Yusuf Azmi (FOTO: Medsos).

Menulis dalam ruangan komen di Instagram (IG) Yusuf baru-baru ini, Jojo menyatakan, tegurannya itu bukan untuk menunjukkan sikap kurang ajar dengan orang lebih dewasa.

“Tapi kalau orang tua perangai macam budak sapa (siapa) nak hormat. Jojo, family (keluarga) Jojo and (dan) ramai lagi orang orang dalam komuniti combat sports (sukan tempur) ada dalam bidang ni lama sebelum pakcik (Yusuf Azmi) datang (muncul).

“Kita naikkan Muay Thai dari 0 (tiada apa-apa), pakcik datang bila dah hype (terkenal) pastu (lalu) buat perangai bangang, sapa tak marah pakcik,” luah Jojo.

Sehubungan itu, Yusuf Azmi, 35, dalam reaksinya di IG miliknya menegaskan dia tidak terasa dengan kenyataan Jojo itu. 

“Jojo masih kebudak-budakan baru berusia 18 tahun,” katanya yang namun menyatakan sokongannya terhadap Jojo di pentas Muay Thai.

Yusuf mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM pada Mac 2018 (FOTO: Medsos).

Siapa Yusuf Azmi?

Yusuf Azmi dikenali sebagai aktivis pengguna di Malaysia, terutama melalui peranan beliau sebagai Pengarah Unit Tindakan Khas di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selama kira-kira 8 tahun.

Beliau mengumumkan pengunduran diri dari PPIM pada Mac 2018, sebelum dikaitkan Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia (PPSM/Semboyan Malaysia)

Beliau aktif mengangkat isu-isu pengguna seperti ceti haram (‘ah long’), skim penipuan, penguatkuasaan hak pengguna melalui media sosial dan laporan polis.

Dalam sidang media pengundurannya dari PPIM, beliau menyatakan tiada niat untuk terlibat dalam politik berparti, sebaliknya mahu fokus kepada aktiviti pengguna dan masyarakat.