
Oleh BIANCA HILMAN
PENYANYI dan idola K-pop terkenal, HyunA mencetuskan kebimbangan ramai apabila dia rebah secara tiba-tiba semasa membuat persembahan di Festival Waterbomb Macau pada Ahad, 9 November 2025.💔
Dalam video yang kini (hari ini) tular di media sosial, bintang popular berusia 33 tahun itu sedang menyanyikan lagu popularnya Bubble Pop! apabila dia tiba-tiba pengsan di atas pentas.
Dua penari latar segera membantu sebelum seorang kakitangan keselamatan membawanya keluar dari pentas.

Beberapa jam kemudian, bekas ahli Wonder Girls, 4Minute dan Triple H itu memuat naik hantaran di Instagram untuk memohon maaf kepada peminat dan menenangkan semua.
“Saya benar-benar minta maaf… saya hanya mahu menunjukkan sisi terbaik saya,” tulisnya dalam bahasa Korea.
“Saya tidak ingat apa yang berlaku, tetapi saya akan cuba bina stamina saya dan terus berusaha.”
😢 Insiden ini berlaku tidak lama selepas HyunA mendedahkan bahawa dia kehilangan hampir 10 kilogram dalam masa sebulan, hasil daripada diet ketat yang diamalkannya.

Pada 3 Oktober 2025, dia yang dipercayai bergelut dengan masalah berat badan menulis kepada dirinya sendiri di Instagram:
“Hyun-ah, awak makan terlalu banyak. Mari kita berhenti dan diet ketat lagi. Awak suka kurus, kan?”
Dan pada 4 November 2025, dia menunjukkan berat badannya sekitar 49kg, sambil mengaku ia “sukar untuk turunkan digit pertama dari angka 50-an.”
HyunA, yang kini berkahwin dengan penyanyi Yong Jun-hyung, 35, sejak Oktober 2024, pernah bercakap terbuka tentang tekanan dunia hiburan.

Terdahulu pada Mei, 2025, dalam rancangan Point of Omniscient Interfere, dia mengakui pernah tidak makan selama seminggu – hanya bertahan dengan sekeping kimbap, dan pernah pengsan sehingga 12 kali dalam sebulan ketika zaman kemuncaknya sebagai idola. 😔
HyunA juga sebelum ini menangguhkan pelancaran lagu Good Girl (2020) dan album I’m Not Cool (2021) kerana mengalami ‘vasovagal syncope’ — sejenis kecenderungan menjadi pengsan disebabkan penurunan tekanan darah akibat dehidrasi atau berdiri terlalu lama.
Pada 2019, dia turut mendedahkan bahawa dia mengalami kemurungan dan gangguan panik.

✨ Walaupun ramai terkejut dengan insiden di Macau, peminat dari seluruh dunia kini menghantar mesej sokongan buat penyanyi itu dan berharap dia akan berehat secukupnya sebelum kembali ke pentas.
💡 Voolora says:
Menjadi idola memang nampak glamor, tetapi realitinya penuh tekanan — daripada imej, jadual padat, hingga ke harapan peminat.
Lebih lagi, dia mungkin tertekan kerana berat badannya kini dilihat tidak langsing seperti sebelum kahwin, dan mungkin sedang menjalani diet ketat.
Apa pun, kesihatan tetap nombor satu. Semoga HyunA terus kuat dan sihat untuk diri sendiri dan semua yang menyayanginya.🌷
