Sunday, April 19

Olivia Rodrigo wanita termuda dunia cecah 16 bilion strim di Spotify

Oleh BIANCA HILMAN

PELANTUN laguhit, good 4 u, Olivia Rodrigo terus membuktikan statusnya sebagai fenomena global apabila album sulungnya, SOUR, secara rasmi melepasi 16 bilion strim di Spotify – menjadikannya album oleh artis wanita termuda yang mencapai angka luar biasa itu.

Dengan pencapaian terbaharu ini, Olivia yang baru berusia 22 tahun, kini berdiri sebaris dengan barisan nama paling berpengaruh di platform tersebut, termasuk Taylor Swift, Billie Eilish, Ariana Grande, Bad Bunny, The Weeknd dan Ed Sheeran – yang album masing-masing Un Verano Sin Ti, Starboy dan Divide melonjak ke tahap penstriman yang sama.

Dilancarkan pada Mei 2021, SOUR muncul sebagai karya penanda budaya menggabungkan energi pop-punk, balada jujur dan penulisan lirik yang menusuk hati.

Album itu pantas menjadi suara yang mewakili generasi muda Gen Z yang berdepan kesedihan, pencarian identiti dan kekalutan fasa awal dewasa.

Hampir lima tahun selepas pelancarannya, album itu masih kukuh dalam carta penstriman, membuktikan kekuatan dan relevansinya yang tidak pudar.

Kehebatannya semakin terserlah pada musim panas lalu apabila Olivia menyertai Adele dalam kelompok eksklusif artis wanita yang memiliki tiga lagu melebihi dua bilion strim setiap satu.

Rekod tersebut terus diperkukuh apabila lagu deja vu turut melangkaui angka dua bilion—menjadikannya lagu keempat dalam katalog Rodrigo yang mencapai kejayaan luar biasa itu.

Dengan metrik penstriman yang terus memecah rekod, SOUR bukan sahaja mencatat sejarah baharu dalam dunia muzik, tetapi juga menetapkan standard tinggi untuk era pop moden.