Friday, June 19

Banjir di Terengganu: Tujuh jalan utama ditutup sepenuhnya

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA TERENGGANU: Banjir yang melanda Terengganu sejak 22 November lalu terus menjejaskan pergerakan penduduk apabila beberapa laluan utama terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Menurut kenyataan yang dikemas kini menerusi laman web Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak tujuh jalan di tiga daerah—Setiu, Kemaman dan Marang—ditutup sepenuhnya bermula semalam susulan kejadian banjir serta paras air yang meningkat.

Di Setiu, laluan yang ditutup ialah Jalan Permaisuri–Ulu Seladang, Jalan Kampung Bukit–Alur Lik, dan Jalan Chalok–Bukit Putera–Telaga Papan.

Sementara itu, di Kemaman, laluan terjejas turut melibatkan Jambatan Lama Teladas, Jalan Pelatoh–Lubuk Lesong, dan Jalan Lubuk Lesong.

Di Marang, Jalan Penghubung Lebuhraya Pantai Timur (LPT)–Bukit Payong kekal ditutup dengan paras air dilaporkan terus meningkat.

Selain penutupan penuh, lapan lagi laluan di Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman turut ditutup kepada kenderaan ringan berikutan air yang semakin naik.

Di Kuala Terengganu, laluan terjejas ialah Jalan KT Bypass–Durian Burung dan Jalan Bukit Payung–Pengadang Buloh–Cendering.
Sementara di Setiu, penutupan membabitkan Jalan Pengkalan Merbau–Pelong. 

Di Hulu Terengganu pula, laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan ialah Jalan Utama Felda Mengkawang–Tersat, Jalan Utama Bukit Diman–Tersat, dan Jalan Pelam–Bukit Lawang.
Manakala di Kemaman, sekatan melibatkan Jalan Payoh–Kemasik dan Jalan Kertih 5–Batu Putih–Kertih.

Sehubungan itu, JKR Terengganu menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi agensi itu bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan risiko tersangkut di laluan banjir.