
Oleh BIANCA HILMAN
KADANGKALA, kejayaan tidak hadir dengan sorakan awal atau ramalan hebat. Ia lahir daripada kesabaran, konsistensi dan kepercayaan pada diri sendiri, itulah kisah indah atlet pencak silat negara, Nur Syafiqah Hamzah.
Di pentas Sukan SEA Thailand 2025, Nur Syafiqah akhirnya menukar penantian panjangnya menjadi detik bersejarah apabila merangkul pingat emas acara tunggal puteri, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kem silat Malaysia pada temasya kali ini.
Bersaing di Impact Arena, Bangkok, atlet berusia 31 tahun ini mempamerkan persembahan penuh ketenangan dan keyakinan untuk menewaskan wakil Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan, dengan markah 9.960 di pentas final.

Kemenangan itu bukan sekadar emas; ia simbol kematangan dan keberanian seorang wanita yang tidak pernah berputus asa.
Lebih manis, perjalanan ke final turut menyaksikan Nur Syafiqah menundukkan juara dunia dua kali dari Indonesia, Puspa Arumsari, di separuh akhir.
Kemenangan tersebut bukan sahaja membuka laluan ke podium tertinggi, malah menjadi momen kebangkitan selepas kekalahannya kepada atlet sama pada Sukan SEA 2023.
Walaupun tidak disenaraikan sebagai calon utama emas, Nur Syafiqah membuktikan bahawa status ‘underdog’ bukan penghalang untuk bersinar.
Persembahan konsistennya sepanjang kejohanan akhirnya menawan hati juri dan seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai emas pertama Nur Syafiqah selepas empat penyertaan berturut-turut sejak 2019, selain menamatkan penantian 20 tahun negara dalam kategori ini.
Kisah Nur Syafiqah adalah peringatan buat setiap wanita:
✨ Tidak mengapa jika kejayaan datang lambat, asalkan kita tidak berhenti melangkah.
Hari ini, kesabarannya telah bertukar menjadi emas, dan inspirasi buat generasi wanita seterusnya.
