
Oleh BIANCA HILMAN
DUNIA makanan dan minuman (F & B) tempatan terus meriah apabila dua personaliti terkenal yang membuka restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur – Khairul Aming dan Ajak Shiro masing-masing mengumumkan perkembangan besar dalam perniagaan mereka.
Khairul Aming dan restoran RM4 juta
Usahawan dan pempengaruh popular, Khairul Aming, akhirnya mendedahkan projek besar yang disimpannya selama setahun, pembukaan restoran fizikal pertamanya, Rembayung, yang dijangka beroperasi pada Januari 2026.

Menerusi pengumuman rasmi di media sosial, beliau berkongsi bahawa Rembayung merupakan pelaburan terbesar sepanjang 10 tahun kerjayanya, dengan kos pembinaan mencecah RM4 juta.
Restoran itu dibangunkan dari kosong di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, terletak bersebelahan kawasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hanya 9 hingga 11 minit dari KLCC.
Kontroversi Rembayung: Dari harga hingga nama restoran
Dalam beberapa hari selepas pengumuman, perbincangan hangat tercetus dalam kalangan warganet.
Antara topik paling banyak diperdebatkan adalah nama ‘Rembayung’ dipersoalkan, dengan isu berbangkit termasuk ada yang menganggap nama itu kurang mudah disebut atau kurang jelas maksudnya, terlalu ‘puitis’ untuk sebuah restoran, sementara yang lain tidak kurang memuji keunikan dan nilai seni pada pemilihan tersebut.

Isu lain ialah mengenai harga makanan yang tidak dikatakan ‘mesra rakyat’. Khairul Aming sendiri mengakui harga mungkin sedikit tinggi kerana kos operasi bertaraf premium.
Beliau turut menjelaskan bahawa harga hidangan mungkin tidak berada dalam kategori murah kerana kos operasi Rembayung yang tinggi, namun menegaskan fokusnya ialah menyediakan makanan berkualiti dan pengalaman terbaik untuk pelanggan.
Perkara ini pantas mencetuskan perdebatan antara dua kem: yang menyokong harga premium demi kualiti; dan yang merasakan jenama popular patut kekal mesra rakyat.
Khairul Aming juga memberi peringatan awal bahawa kawasan restoran tersebut mungkin berdepan isu parkir dan kesesakan trafik.
Bagi mengelakkan barisan panjang, beliau menegaskan bahawa walk-in tidak akan dibenarkan pada hari pembukaan. Semua pelanggan perlu membuat tempahan awal.

Dengan kapasiti 200 pelanggan pada satu masa, sistem tempahan ini perlu bagi memastikan pengalaman makan yang lebih selesa dan teratur.
Langkah untuk menyekat walk-in turut mencetuskan perbincangan warganet yang juga terbahagi dua: penyokong menganggap ia praktikal bagi mengawal trafik; manakala pengkritik pula melihat ia mengehadkan kebolehcapaian pelanggan biasa.
Namun di sebalik kontroversi awal itu, pembukaan Rembayung menandakan langkah besar Khairul Aming memasuki dunia perniagaan offline selepas sedekad membina empayar digital termasuk kejayaan Sambal Nyet dan Dendeng Nyet — menjadikan restoran ini salah satu pembukaan paling dinantikan tahun ini.
Bumbu Babah: Ajak Shiro sasar 25 cawangan, kini cecah 40
Dalam perkembangan lain, jenama makanan autentik Minang, Bumbu Babah, yang diusahakan oleh pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro, mencatat pertumbuhan luar biasa sejak setahun lalu.
Jenama itu bermula dengan jualan ayam goreng sebelum beralih kepada Nasi Padang, yang kini menjadi tunjang utama perniagaannya, dengan cawangannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur terletak antara 1 hingga 2 minit dari lokasi Rembayung.

Pertumbuhan pesat Bumbu Babah sepanjang 2025 menyaksikan:
- Jun 2025 – 10 cawangan (termasuk Batu Caves, Central Market, Shah Alam, Melawati Mall, Bangsar, MyTown, Cyberjaya & Puchong)
- Ogos 2025 – berkembang kepada 22 cawangan
- Disember 2025 – melonjak kepada 40 cawangan di seluruh Malaysia
Walaupun sasaran rasmi adalah 25 cawangan, prestasi Bumbu Babah jauh mengatasi jangkaan, menjadikannya salah satu jenama F&B tempatan paling agresif berkembang pada tahun ini.
Kontroversi harga makanan dan interaksi pelanggan
Ajak Shiro sebelum ini tampil menjawab rungutan segelintir pelanggan berhubung harga lauk tertentu, terutamanya sambal udang.
Beliau menjelaskan bahawa kos bahan mentah serta operasi mempengaruhi harga, dan sepanjang setahun berniaga, banyak perkara telah dipelajarinya mengenai pengurusan perniagaan dan komunikasi dengan pelanggan.

Hubungan dengan Ebby Yus
Ajak turut diketahui menghadiahkan salah satu cawangan Bumbu Babah kepada rakan artisnya, Ebby Yus, sebagai tanda penghargaan menjadikan beliau sebahagian daripada rangkaian perniagaan itu.
Justeru, tahun ini menyaksikan dua personaliti besar tanah air melakar perkembangan bersejarah dalam industri makanan tempatan:
- Khairul Aming melangkah ke dunia restoran fizikal dengan Rembayung, projek paling besar sepanjang kerjayanya.
- Ajak Shiro pula membuktikan kemampuan selebriti membina empayar F&B yang berkembang pesat melalui Bumbu Babah.
Kedua-dua tokoh ini bukan sahaja menaikkan industri F&B tempatan, malah memberi inspirasi kepada bakat baharu yang ingin menceburi dunia perniagaan makanan.
