Tuesday, July 21

‘Toy Story 5’ pecah rekod global, Taylor Swift No.1 Billboard 

Susunan BIANCA HILMAN

LOS ANGELES: Gabungan magis francais filem Toy Story dan pengaruh luar biasa populariti Taylor Swift mencipta fenomena terkini global apabila siri kelimanya, Toy Story 5 mencatat kutipan pembukaan (hasil kutipan hujung minggu Jumaat-Ahad) terbesar tahun ini mencecah AS$312 juta (RM1.47 bilion), manakala lagu tema filem itu alunan Taylor Swift,  I Knew It, I Knew You menduduki tangga teratas carta Billboard Hot 100.

Filem terbaharu Disney dan Pixar itu meraih kutipan domestik (Amerika Utara) sebanyak AS$160 juta (RM753 juta) pada hujung minggu pembukaannya, sekali gus memecahkan rekod francais yang sebelum ini dipegang oleh Toy Story 4 dengan AS$120 juta pada 2019.

Di peringkat antarabangsa, Toy Story 5 turut mencatat prestasi cemerlang dengan kutipan AS$152 juta, angka di sebalik jumlah keseluruhan global yang mencecah AS$312 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangan itu.

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa francais yang bermula sejak 31 tahun lalu itu masih mempunyai daya tarikan luar biasa dalam kalangan penonton pelbagai generasi.

Sebelum pelancaran filem kelima ini, siri Toy Story telah menjana lebih AS$3 bilion menerusi kutipan pawagam seluruh dunia, selain menghasilkan berbilion dolar lagi daripada jualan barangan dan pelesenan.

Walaupun ramai menganggap kisah patung permainan, Woody dan rakan-rakannya berakhir menerusi Toy Story 3 pada 2010, keputusan Disney menghidupkan semula francais itu hampir sedekad kemudian terbukti sangat menguntungkan. 

Selepas Toy Story 4 melepasi kutipan keseluruhan AS$1 bilion, Toy Story 5 kini dijangka mengikuti jejak langkah yang sama.

Filem berkenaan menampilkan semula barisan pelakon suara popular termasuk Tom Hanks sebagai Woody, Tim Allen (sebagai Buzz Lightyear) dan Joan Cusack (Jessie).

Dalam sekuel kali ini, dunia patung permainan berdepan cabaran baharu menerusi karakter Bonnie (kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang menjadi pemilik Woody, Buzz Lightyear dan mainan-mainan lain selepas pemilik permainan sebelum ini, Andy melanjutkan pelancaran  ke kolej seperti yang digambarkan dalam Toy Story 3). 

Dalam Toy Story 5, Bonnie kini mengharungi cabaran untuk berkawan dan mengimbangi keseronokan bermain dengan kesemua mainan tradisionalnya berbanding peranti digital moden seperti tablet Lilypadnya.

Plot ini mencerminkan realiti moden yang semakin dipengaruhi teknologi digital, antara elemen realiti dunia semasa yang berjaya ditinjolkan dalam Toy Story 5 yang diarahkan oleh Andrew Stanton, pengarah berpengalaman Pixar yang sebelum ini menghasilkan karya ikonik Finding Nemo dan WALL-E.

Lebih menarik perhatian, Toy Story 5 menampilkan lagu asal nyanyian Taylor Swift I Knew It, I Knew You yang pantas menjadi fenomena global.

Lagu tersebut terus melonjak ke tangga nombor satu Billboard Hot 100 pada minggu pertama pelancarannya, sekali gus menjadi lagu hit No. 1 ke-15 Swift yang berjaya menduduki puncak carta berprestij itu.

Menurut Billboard, I Knew It, I Knew You menjadi antara hanya beberapa lagu daripada filem animasi Disney yang pernah mencapai kedudukan nombor satu carta, menyertai A Whole New World daripada Aladdin dan We Don’t Talk About Bruno daripada Encanto, namun , I Knew It, I Knew You adalah lagu dari filem Disney yang pertama yang membuat pencapaian meraih No. 1 pada minggu pertama pelancarannya.

Dalam tempoh tujuh hari pertama, lagu itu merekodkan jualan 70,000 muat turun digital serta tambahan 17,000 unit  cakera padat (CD) fizikal, menjadikannya antara lagu paling laris di Amerika Syarikat pada ketika ini.

Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan Swift sebagai antara artis paling berpengaruh dunia apabila lagu berkenaan juga memberikan beliau single nombor satu ketujuh di United Kingdom, menyamai pencapaian legenda muzik seperti Michael Jackson, George Michael dan U2.

Pemerhati industri melihat kejayaan serentak Toy Story 5 dan Taylor Swift sebagai kombinasi sempurna yang berjaya menggabungkan nostalgia francais animasi paling popular Disney dengan kuasa budaya pop moden.

Dengan kutipan box-office yang memberangsangkan dan lagu tema yang menguasai carta muzik dunia, Toy Story 5 kini berada di landasan kukuh untuk menjadi salah satu filem terbesar tahun ini dengan kutipan keseluruhan dijangka melebihi AS$1 bilion. – VOOLORA 22/6/2026