Tuesday, July 21

Trailer The Beauty lakonan Bella Hadid: 4 hari, 37 juta tontonan

Oleh BIANCA HILMAN

LOS ANGELES: Trailer siri terbaharu penerbit tersohor Ryan Murphy, The Beauty yang dibintangi supermodel terkenal, Bella Hadid mencatat kejayaan luar biasa apabila meraih 37 juta tontonan hanya dalam tempoh empat hari selepas dilancarkan, sekali gus menjadi antara trailer siri paling tular ketika ini.

Trailer berdurasi 1 minit 47 saat itu mula tular di pelbagai platform digital termasuk YouTube, Instagram dan TikTok, dengan ribuan komen daripada peminat di seluruh dunia menampilkan beberapa adegan siri fiksyen sains 11 Episod, The Beauty –  naskhah  terbaharu Murphy yang sebelum ini dikenali sebagai penerbit siri popular di Disney +, American Horror Story dan Monster di Netflix, selain siri popular Glee dan Scream Queen.

Menonjolkan lakonan berprofil tinggi Bella yang sebelum ini muncul cameo dalam siri drama komedi, Ramy, naskhah The Beauty sebaliknya menampilkan supermodel ini menerusi watak dramatik, aksi dan penuh misteri.

The Beauty turut dibintangi buat julung-julung kalinya bintang pop, Meghan Trainor, selain aktor Ashton Kutcher serta aktres dan model veteran, Isabella Rossellini, diperkuatkan dengan kemunculan bintang siri American Horror Story, Evan Peters.

Menampilkan plot dunia glamor ‘high fashion’ bertukar hitam apabila berlaku kematian bersiri yang ngeri dan misteri membabitkan beberapa supermodel antarabangsa, The Beauty turut menampilkan lakonan Nicola Peltz Beckham, Amelia Gray Hamlin, Rebecca Hall, Jessica Alexander, Lux Pascal dan Julie Halston.

The Beauty dijadualkan mula ditayangkan di Disney + bermula 22 Januari 2026.