
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Misteri di sebalik kehilangan pelakon terkenal Nadia Kesuma akhirnya terjawab, namun jawapan itu hadir bersama linangan air mata. Nadia, atau nama sebenarnya Nadiah Kesemuwati Abdul Karim, disahkan telah meninggal dunia akibat sakit jantung sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Berita duka itu disahkan oleh anak perempuannya menerusi hantaran di Threads, memaklumkan bahawa ibunya telah kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari, kira-kira jam 8.05 pagi.
“Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan mama saya. Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah,” tulisnya dalam nada penuh sebak.
Menurut perkongsian tersebut, arwah mengalami serangan jantung dan segera dibawa ke hospital pada hari yang sama beliau tiba di Jeddah. Namun, apa yang lebih memilukan, pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai keadaan arwah sehinggalah lewat malam, kira-kira jam 11.10 malam, apabila agensi pelancongan sendiri menyampaikan khabar tersebut.
Pemergian Nadia Kesuma turut disahkan oleh suaminya, Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, serta sahabat baik arwah, pelakon Anne Abdullah, menerusi media sosial masing-masing.
Terdahulu, kehilangan Nadia mencetuskan kebimbangan ramai apabila beliau dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Jeddah pada Rabubersama rombongan umrah dan ziarah seramai 21 peserta yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 28 Januari.
Nadia Kesuma, 49, merupakan antara pelakon yang pernah mewarnai layar perak menerusi filem Syaitan Munafik dan Kudeta. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah rakan-rakan industri dan peminat yang mengenali keperibadiannya sebagai seorang yang lembut dan disenangi.
Al-Fatihah buat Nadia Kesuma. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman.
