
Susunan BIANCA HILMAN
LOS ANGELES: Aktres, Anna Camp yang sebelum ini terkenal menerusi siri filem Pitch Perfect, memohon maaf selepas berkongsi semula satu hantaran media sosial mengenai kejayaan filem ‘slasher’ Scream 7 meraih kutipan minggu pembukaan dalam tempoh tiga hari mencecah lebih AS$100 juta.
Anna yang memegang watak sebagai Jessica Bowden dalam Scream 7 membuat hantaran mengenai filem itu yang berdepan boikot dan tunjuk perasaan orang ramai ketika majlis tayangan perdana filem itu baru-baru ini.
Anna memuat naik imej di Instagram Story miliknya dengan lagu Karma nyanyian Taylor Swift sebagai latar.
Hantaran itu berbunyi: “Boikot itu tidak berjaya. Kebencian pengkritik tidak berjaya. Kebocoran yang menyedihkan tidak berjaya. Apa yang berjaya ialah penonton datang dan menjadikan filem itu satu kejayaan.”
Bagaimanapun, pelakon itu kemudian memadam hantaran berkenaan dan menjelaskan ia tidak mencerminkan kepercayaan peribadinya.
“Saya sedar bahawa saya telah menyiarkan semula hantaran orang lain yang tidak mencerminkan kepercayaan peribadi saya.
“Saya telah memadamkannya kerana saya langsung tidak berniat memudaratkan sesiapa. Saya memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Sebelum ini, peminat francais Scream berkenaan menyeru boikot terhadap Scream 7 selepas bintang utama Scream VI, aktres Melissa Barrera dipecat oleh syarikat produksi Spyglass Media Group daripada membintangi Scream 7 susulan beberapa hantaran media sosialnya mengenai konflik Israel-Hamas yang dianggap antisemitik oleh pihak studio.
Minggu lalu, kumpulan pro-Palestin turut mengadakan protes ketika tayangan perdana filem itu di sini dengan melaungkan slogan menyokong Palestin.
Walaupun berdepan reaksi negatif, Scream 7 yang menelan kos pembikinan AS$45 juta mencatat kutipan memberangsangkan apabila meraih kutipan melebihi AS$100 juta hasil tayangan global, sekali gus mencipta rekod hujung minggu pembukaan tertinggi (tiga hari dari Jumaat hingga Ahad) bagi francais yang berusia 30 tahun itu, sejak filem pertamanya, Scream ditayangkan pada 1996.
Scream 7 arahan Kevin Williamson itu turut menampilkan bintang utama asal francais Scream, Neve Campbell yang menolak tawaran membintangi Scream VI disebabkan tidak berpuas hati dengan bayaran lakonannya, menjadikan Melissa diangkat sebagai bintang utama filem yang ditayangkan pada 2023 itu.
Selain Neve, pelakon asal Scream yang lain kembali muncul dalam Scream 7 termasuklah Courteney Cox, David Arquette dan Matthew Lillard.
