
Oleh ZARA JANE
INDUSTRI hiburan tempatan minggu ini tiba-tiba jadi kecoh apabila sebuah filem tempatan yang baru sahaja seminggu ditayangkan di rangkaian pawagam tempatan dilaporkan hilang terus daripada senarai tayangan kepada umum.
Naskhah arahan Ghaz Abu Bakar berjudul, Konspirasi yang mula menemui penonton pada 21 Mei lalu itu sebelum ini mencuri perhatian ramai kerana filem aksi inimengangkat tema penguatkuasaan rasuah secara realistik, dramatik dan berimpak tinggi.
Ia turut mengetengahkan isu kebocoran maklumat siasatan membabitkan pendedahan data sulit, rahsia dan maklumat siasatan secara tidak sah kepada pihak tidak dibenarkan, sekali gus dikatakan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya pengkhianatan amanah terhadap keselamatan negara serta integriti institusi penguatkuasaan.
Namun apa yang mengejutkan, semua jadual tayangan filem tersebut didakwa telah dipadam secara drastik daripada rangkaian pawagam tempatan, sekali gus menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan peminat industri kreatif tempatan.
Che Puan Sarimah terkejut
Lebih mengejutkan, pelakon terkenal yang turut membintangi filem itu, Che Puan Sarimah Ibrahim sendiri tampil meluahkan rasa terkejut menerusi platform Threads selepas mendapat tahu mengenai nasib yang menimpa filem yang menampilkan dirinya melakonkan watak ahli politik terkenal, Datuk Suraya.
Bukan beliau sahaja, malah barisan pelakon utama filem terbitan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropicals Film itu juga dikatakan terpinga-pinga dan masih menunggu penjelasan rasmi daripada pihak terlibat.
Aktor Esma Daniel yang melakonkan karakter Datuk Azizul dalam Konsprasi pula dilaporkan memaklumkan bahawa filem itu kini secara rasmi sudah tidak lagi ditayangkan di seluruh Malaysia.
“Menerima berita filem #Konspirasi dihentikan tayangan di seluruh Malaysia hari ini (semalam),” tulisnya di media sosialnya secara ringkas tetapi padat dengan nada kesal.
Semalam, industri perfileman negara dikejutkan apabila tayangan filem Konspirasi dihentikan serta-merta di pawagam seluruh negara.
Selaku pengarah filem itu, Ghaz Abu Bakar juga memaklumkan dia tidak mengetahui punca sebenar keadaan itu, sebaliknya mengakui menerima kiriman teks daripada penerbitnya.
Filem tersebut turut dibarisi pelakon hebat seperti Dato’ Adi Putra, Hisyam Hamid, Roy Azman, Rusdi Ramli, dan Khir Rahman sekali gus menjadikan kehilangan mendadak karya itu semakin mengundang perhatian ramai.
Merujuk kepada Wikipedia, Rusdi Ramli melakonkan watak Perdana Menteri Malaysia, manakala Roy Azman diserahkan untuk menghidupkan karakter Pesuruhjaya SPRM yang dikenali dengan nama Tan Sri Kamil.
Sementara Adi Putra melakonkan watak Adli, yang merupakan ketua team khas untuk Tan Sri Kamil.
Watak antagonis utama filem ini, Mikael menampilkan lakonan aktor yang kian meningkat naik namanya, Amir Nafis yang menghidupkan karakter pengodam sistem negara dan abang kepada pakar teknologi maklumat ( IT) Maya yang dilakonkan aktres dan model, Alicia Amin.

Majlis tayangan khas Konspirasi dihadiri SPRM, FINAS
Apa yang menambah persoalan, karya berkenaan sebelum ini dilaporkan menerima sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Merujuk kepada portal rasmi SPRM bertarikh 10 Mei 2026, sempena majlis tayangan Konspirasi, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dilaporkan sebagai berkata, filem itu diyakini mampu meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap peranan SPRM yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah merangkumi usaha pencegahan serta pendidikan antirasuah kepada rakyat.
Menurutnya, masyarakat sebelum ini mungkin hanya mengenali gerak kerja SPRM menerusi laporan berita dan paparan media, namun filem Konspirasi memberi gambaran lebih dekat mengenai liku perjuangan, ancaman, tekanan serta keteguhan prinsip pegawai SPRM dalam melaksanakan amanah demi kepentingan negara.
“Filem ini memberi gambaran jelas mengenai cabaran sebenar yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika menghadiri Tayangan Khas Konspirasi di TGV Alamanda di Putrajaya pada tarikh tersebut.
Pada majlis itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dilaporkan sebagai berkata, keterbukaan agensi seperti SPRM dalam menampilkan realiti tugas penguatkuasaan kepada masyarakat mencerminkan tahap ketelusan yang tinggi.
Menurut beliau, filem itu turut memperlihatkan bahawa sesuatu kesalahan tetap dianggap salah tanpa sebarang kompromi, selain memaparkan pelbagai tanggungjawab SPRM termasuk dalam aspek menjaga keselamatan dan kepentingan negara.
“Ini juga merupakan salah satu bentuk filem kenegaraan yang berjaya diketengahkan kepada masyarakat pada hari ini,” katanya.
Penjelasan terkini FINAS
Sementara berita terbaharu dilaporkan BHOnline pada hari ini melaporkan FINAS menerusi kenyataan Azmir Saifuddin, telah mengesahkan bahawa pemberhentian tayangan filem itu di rangkaian pawagam tempatan adalah keputusan penerbit naskhah berkenaan; dan bukan disebabkan sebarang sekatan atau arahan pihak lain.
Beliau berkata, maklumat adalah berdasarkan semakan yang dilakukan dengan Bahagian Wajib Tayang pada pagi tadi.
Azmir juga dilaporkan sebagai berkata, beliau belum berjaya menghubungi penerbit filem itu, tetapi sudahj berhubung dengan pihak pawagam.
“Lazimnya, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) akan memaklumkan kepada FINAS jika ada perkara memerlukan keputusan seperti ini (pemberhentian tayanan filem),” katanya.
Katanya, semakan yang dibuat bersama MAFE dan pengendali pawagam mendapati mereka telah menerima arahan rasmi daripada pihak pengedar filem untuk menghentikan tayangan.
“Sejak semalam, kami tidak menerima sebarang keputusan rasmi. Namun selepas semakan dengan MAFE dan pawagam, mereka mengesahkan menerima arahan daripada pengedar filem itu.
“Ini bermakna pihak pengedar dan penerbit bersetuju untuk menghentikan tayangan filem tersebut,” katanya.
Azmir turut menjelaskan bahawa Konspirasi sebenarnya sudah melepasi semua proses kelulusan sebelum ditayangkan, termasuk mendapat lampu hijau daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) serta kelulusan Skim Wajib Tayang di bawah FINAS.
Malah, FINAS juga telah memberikan tarikh tayangan seperti yang dimohon oleh syarikat penerbitan.
“Kami juga sudah memberikan tarikh tayangan yang dimohon syarikat.
“Oleh itu, tiada sebarang isu dibangkitkan berkaitan sebab filem ini dihentikan tayangan. Ini hanyalah keputusan penerbit sendiri,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Azmir menegaskan pihak FINAS tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menarik balik filem tersebut daripada pawagam.
“Bagi meyakinkan peminat filem di luar sana, tiada sebarang sekatan daripada FINAS. Filem ini juga diluluskan untuk Wajib Tayang dan kami tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menarik balik tayangannya,” katanya.
Setakat ini, FINAS, ujar beliau, masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak penerbit sebelum sebarang kenyataan tambahan dikeluarkan.
Penerbit filem Konspirasi kena jelaskan – MAFE
Sementara MAFE dalam kenyataannya kepada BHOline menerusi kenyataan Bendaharinya, Dr Sai Suthan dilaporkan sebagai berkata, penerbit filem mempunyai hak untuk memohon menghentikan tayangan filem lebih awal biarpun sudah memperoleh slot tayangan selama dua minggu menerusi Skim Wajib Tayang di bawah FINAS.
Menurut beliau, MAFE sebagai pihak pemamer menghormaru keputusan dibuay penerbit filem Konspirasi, Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Suthan juga mengesahkan bahawa setakat dimaklumkan FINAS, tiada halangan sebarang klausa atau halangan yang menghalang penerbit daripada menarik semula tayangan filem mereka.
Namun, beliau menyatakan apa yang sebenarnya berlaku, pihak penerbit yang perlu membuat penjelasan.
Cuma setakat ini, pihak penerbit filem Konspirasi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.
Dalam masa sama, netizen mula membuat pelbagai spekulasi di media sosial mengenai punca sebenar penarikan tersebut, terutama kerana tema filem itu yang dikatakan cukup sensitif dan berani.
Bagi penonton yang sudah membeli tiket atau merancang untuk menonton filem berkenaan, nampaknya mereka terpaksa menangguhkan hasrat itu sehingga ada pengumuman rasmi dibuat.
Situasi ini sekali lagi membuka perbincangan hangat tentang kebebasan karya kreatif dan cabaran yang dihadapi pembikin filem tempatan apabila menyentuh isu-isu sensitif dalam masyarakat. – VOOLORA 29/5/2026
