Friday, June 5

Dua Lipa kahwini Callum Turner, hanya 8 tetamu hadir

Oleh BIANCA HILMAN

PENYANYI sensasi dunia, Dua Lipa, kini sah bergelar isteri kepada pelakon dan mantan model British, Callum Turner, selepas pasangan itu dilaporkan melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis sederhana dan tertutup di Old Marylebone Town Hall, London.

Penyanyi berusia 30 tahun itu dan Callum, 36, dikatakan hanya dihadiri lapan tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat dalam upacara yang berlangsung penuh intim.

Menurut laporan media antarabangsa, pasangan berkenaan bakal meneruskan sambutan perkahwinan mereka menerusi sebuah acara lebih mewah selama tiga hari di Sicily, Itali, yang dijangka bermula minggu ini.

Sumber terdekat pasangan itu turut mendedahkan bahawa Callum dilihat begitu emosional sepanjang majlis berlangsung sehingga menitiskan air mata kegembiraan ketika melihat pengantin perempuannya.

Pada majlis tersebut berlangsung pada Isnin, Dua tampil anggun dengan busana khas dan anggun rekaan Daniel Roseberry for Schiaparelli berupa sut skirt putih gading yang dipadankan dengan topi lebar, sarung tangan putih, kalung berlian Bulgari serta kasut tumit tinggi daripada Christian Louboutin.

Sementara itu, Callum tampil segak mengenakan sut biru laut tempahan khas daripada Ferragamo.

Ahli keluarga Dua termasuk ibu bapanya, Dugi dan Anesa, serta adik-beradiknya, Rina dan Gjin, dilihat bersama-sama meraikan pasangan pengantin baharu itu dengan membaling konfeti ketika mereka keluar dari bangunan bersejarah tersebut.

Hubungan cinta Dua dan Callum mula menjadi perhatian umum pada awal 2024 sebelum mereka mengesahkan pertunangan pada pertengahan 2025. 

Perkahwinan ini sekali gus menamatkan spekulasi panjang mengenai hubungan pasangan selebriti popular itu. – VOOLORA 2/6/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *