Sunday, April 19

FFM34: Sweet Qismina kalahkan 4 ‘otai’ aktres terbaik negara

Oleh BIANCA HILMAN

Allahuakhbar & Alhamdulillah!”

Dua perkataan yang dilontarkan pelakon Sweet Qismina dalam instagram miliknya itu jelas menggambarkan perasaan syukur dan keterujaannya meraih anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) impak lakonannya menerusi filem, Babah.

Bella Astillah antara rakan artis terawal mengucapkan tahniah di instagram Sweet Qistina  dengan ungkapan berbunyi: “Congratulation sweet. Alhamdulillah, proud of you.”

Rakan-rakan artis lain yang turut berkongsi kemenangan Sweet Qismina dengan menitipan ucapkan tahniah termasuklah Datuk Aznil Nawawi, Mira Filzah, Nabila Razali, Tracie Sinidol, Ardell Aryana, Siti Hariesa, Adeline Tsen, Daiyan Trisha, Zarina Zainuddin, dan Elisya Sandha

Sweet Qismina terharu di pentas FFM34 dengan kemenanganya menerusi watak Maya dalam filem, Babah (FOTO:Medsos).

Dalam acara yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, Kuala Lumpur, pada malam tadi itu, Sweet, 28 mengalahkan empat lagi calon Top 5 Pelakon Wanita Terbaik FFM34 yang bukan calang-calang tetapi boleh dilabelkan sebagai antara empat ‘aktres terbaik negara’  – Nabila Huda (dicalonkan hasil lakonan cemerlang dalam filem Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang: Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).

Memulakan kerjaya lakonan sebagai pelakon kanak-kanak menerusi drama Udin dan Noni yang disiarkan di TV Pendidikan  pada tahun 2004, memegang watak sebagai Noni, ketika itu Sweet dikenali dengan nama, Farhanna Qismina; sebelun muncul dalam filem pertamanya, German Homestay pada 2007.

Tidak dapat menahan air mata tatkala naik ke pentas untuk menjulang trofi kemenangannya, Sweet dengan penuh rasa bersyukur dan berterima kasih ditujukan buat produksi filem Babah dan ibunya sendiri.

Gandingan mantap Sweet Qismina dan Qi Razali sebagai anak dan bapa dalam satu adegan filem, Babah (FOTO: Medsos).

“Terima kasih buat famili saya dalam filem Babah kerana sudi terima saya berlakon. 

“Tidak dilupakan kepada mak (ibu) saya yang sentiasa ada dari saya kecil hingga sekarang. Kejayaan ini adalah untuk anda,” ucapnya.

Babah yang mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang bapa, Isyak (lakonan Qi Razali), terhadap anak perempuannya, Maya, yang berjuang dengan penyakit Sindrom Guillain-Barré itu, menang besar dan menguasai FFM34 apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik, sekali gus membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.

Terdahulu, filem terbitan Nads Media Entertainment itu merangkul anugerah Pengarah Harapan melalui kemenangan Shah Faizul, Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri), Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq), dan Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali) yang menujukan kemenangannya itu buat golongan bapa-bapa di alam realiti.

Voolora juga turut berbangga dengan kemenangan Ellie Suriaty merangkul Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Telaga Suriram, manakala Puteri Rafasya yang beraksi dalam filem sama dinobatkan Pelakon Kanak-kanak Terbaik, serta Michelle Lungan (Tegkang) untuk anugerah Pelakon Wanita Harapan.

Sweet Qismina di samping suaminya, aktor Adam Lee (FOTO: Medsos).

Senarai lengkap pemenang FFM34

Filem Terbaik: Babah (Nads Media Entertainment)
Pengarah Terbaik: Syafiq Yusof & Abhilash Chandra (Blood Brothers: Bara Naga)
Pengarah Harapan: Shah Faizul (Babah)
Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri (Babah)
Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq (Babah)
Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali (Babah)
Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina (Babah)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly (Blood Brothers: Bara Naga)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Telaga Suriram)
Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)
Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan (Tegkang)
Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Puteri Rafasya (Telaga Suriram)
Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2
Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu
Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib
Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tarmimi Siregar
Aksi & Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team (Blood Brothers: Bara Naga)
Penyunting Terbaik: Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof (Soloz: Game of Life)
Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)
Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)
Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman & Technica Studios (Soloz: Game of Life)
Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa (Blood Brothers: Bara Naga)
Skor Muzik Asal Terbaik: Soloz: Game of Life
Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam (Soloz: Game of Life)
Poster Terbaik: Arst (Tegkang)
Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Farah Syaliq (Mencari Ramlee)
Tatarias/Solekan Terbaik: Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu)
Filem Pendek Terbaik: Rastech Worldwide (Saranghae)
Dokumentari Terbaik: Media Prima Berhad (Rindu Tak Berpenghujung)