
Oleh BIANCA HILMAN
KUMPULAN sensasi Dolla akhirnya tampil menjelaskan punca pembatalan konsert Good Girls Gone Bad, yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram rasmi mereka, tiga anggotanya — Sabronzo, Tabby dan Angel memohon maaf kepada peminat yang sudah lama menantikan persembahan tersebut.
Sabronzo menjelaskan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat selepas pihak penganjur tidak berjaya menyiapkan permit dan kelulusan pihak berkuasa dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kami ingin minta maaf tentang pembatalan konsert Good Girls Gone Bad. Kami faham ramai yang menantikan konsert ini, begitu juga kami.
“Malangnya, pihak penganjur tidak dapat menyiapkan permit dan kelulusan yang diperlukan,” jelas Sabronzo.
Tambahnya lagi, tanpa kelulusan tersebut, mereka tidak sanggup mengambil risiko konsert dibatalkan pada saat akhir.
Tabby pula berkongsi rasa kecewa kerana seluruh pasukan telah bekerja keras bagi menghadirkan persembahan terbaik — dari aspek visual, tarian sehinggalah produksi muzik.
Walau bagaimanapun, keadaan memaksa mereka akur dengan keputusan pembatalan.
Bagi menghargai kesetiaan peminat, Dolla bercadang merancang acara istimewa pada tarikh yang sepatutnya menjadi hari konsert tersebut.
“Kami benar-benar harap dapat teruskan konsert, tapi malangnya keadaan tak membenarkan. Kami janji akan berjumpa dengan iDolla — tunggu konsert penuh kami tahun depan,” kata Tabby.
Dalam pada itu, Angel pula memberi jaminan bahawa proses pemulangan dan pengurusan tiket akan diuruskan dengan sebaiknya.
“Bagi yang telah membeli tiket, jangan risau, kami akan pastikan proses ini berjalan dengan lancar. Terima kasih atas kasih sayang, kesabaran dan sokongan anda selama ini.”
Mengakhiri mesej mereka, Dolla berjanji untuk kembali dengan persembahan yang lebih hebat demi peminat setia mereka, iDolla.
