
Oleh BIANCA HILMAN
HOLLYWOOD, California: Britney Spears telah menjadi penyanyi terbaharu di Hollywood menjual hak ke atas katalognya, yang merangkumi lagu-lagu hit seperti Baby One More Time dan Oops! I Did It Again, lapor media AS pada hari Selasa (10 Feb).
Perjanjian itu dipercayai bernilai sekitar AS$200 juta, menurut sumber yang dipetik oleh laman selebriti TMZ, walaupun jumlah sebenar tidak diperincikan dalam dokumen undang-undang.
Jumlah itu setanding dengan penjualan katalog penyanyi asal Kanada, Justin Bieber pada tahun 2023.
Spears, 44, menyertai senarai artis yang semakin meningkat yang telah menjual hak muzik mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Bruce Springsteen dan Bob Dylan, serta Shakira dan kumpulan KISS.
Media AS melaporkan bahawa hak tersebut telah dibeli oleh penerbit muzik Primary Wave, yang portfolionya merangkumi karya Whitney Houston, Bob Marley, Prince dan lain-lain.
Pemilik hak penerbitan lagu menerima bayaran untuk setiap siaran, penjualan album atau penggunaan dalam pengiklanan dan filem.
Pasaran hak muzik yang semakin berkembang membolehkan artis menjana wang daripada katalog mereka, yang merupakan aset jangka panjang yang menarik bagi pelabur dalam era penstriman.
Label utama seperti Sony, Universal dan Warner juga telah berkembang dalam bidang perniagaan ini, bersama pelabur pakar Recognition Music Group dan Concord Music Publishing.
Spears meraih kemuncak populariti pada akhir 1990-an, namun kini pudar setelah berundur dari arena muzik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2021, mahkamah AS menamatkan tempoh konservatori selama 13 tahun yang membenarkan bapa Spears mengawal kewangannya – satu pengaturan yang digambarkan oleh penyanyi itu sebagai ‘penindasan’.
