
Oleh BIANCA HILMAN
PELAKON ikonik yang kini meraih gelaran ‘Scream Queen terhangat di pasaran’ pada ketika ini, Neve Campbell kembali mencuri perhatian peminat; bukan kerana filem terbaharu lakonannya, tetapi keputusan besar dalam kehidupan peribadinya.
Bintang siri filem blockbuster ‘slasher’ Scream itu bersama pasangannya, JJ Feild dilaporkan telah menjual kediaman mewah mereka di Sherman Oaks, Los Angeles (LA) pada harga sekitar AS$4.286 juta (lebih RM20 juta); hanya dalam tempoh enam minggu selepas disenaraikan di pasaran.
Walaupun terkenal sebagai selebriti yang menjaga privasi, media sempat ‘menyiasat’ mengenai rumah tersebut yang telah dibeli Neve pada tahun 2020 dengan harga sekitar AS$2.8 juta.

Ini bermakna aktres kelahiran Kanada ini bukan sahaja ‘move on’, malah turut memperoleh keuntungan lumayan daripada pelaburan hartanahnya.
Kediaman yang dijual Neve tersebut lengkap dengan elemen gaya hidup eksklusif:
- 5 bilik tidur & 5.5 bilik mandi
- Dua bangunan berasingan (rumah utama + studio)
- Kolam renang dengan teres peribadi
- Sauna, kolam air sejuk & taman sayur
- Kawasan BBQ lengkap untuk gaya hidup santai

Reka bentuknya yang tersorok dari jalan utama dengan dinding batu besar menjadikan ia ‘safe haven’; sesuai dengan latar belakang Neve yang pernah berdepan pengalaman mengerikan apabila privasinya diganggu peminat ‘gila’ atau lebih tepat, pengendap.
Keputusannya membeli kediaman tersebut sebelum ini mengejutkan peminat Neve memandangkan aktres kelahiran Kanada ini dilaporkan telah ‘melarikan’ dari Los Angeles (LA) untuk menetap di Islington, London pada 2007.
“Saya perlu menjaga keselamatan diri dan keluarga kerana diganggu seorang individu yang sentiasa mengintip pergerakan saya. Ia sangat mengerikan,” akuinya ketika ditemubual The Guardian pada 2016.

Menceritakan pengalamannya menetap di LA, pelakon yang kini muncul dengan musim terbaharu siri hit di televisyen, Lincoln Lawyer mengakui dia dirundung rasa sedih.
“Selepas menetap selama 13 tahun di Los Angeles sepanjang karier lakonan saya di Hollywood yang bermula pada era 1990an, tapi saya tidak pernah berasa seperti tinggal di rumah sendiri.
“LA berasa sangat terasing. Ia bukan bandar yang mudah untuk saya bersiar-siar dengan berjalan kaki dan ia bukan bandar budaya. Di London sebaliknya memiliki elemen budaya, itu pasti,” luahnya.
Sehubungan itu, dalam masa yang sama, peminat filem siri Scream ada sebab untuk teruja.
Francais Scream kini bersedia untuk bab seterusnya apabila Scream 8 disahkan dalam pembikinan.

Pencipta siri tersebut, Kevin Williamson, dilaporkan telah berbincang dengan Neve tentang idea filem terbaharu dalm siri Scream itu, walaupun beliau tidak akan menulis atau mengarah kali ini.
Perlu diingat Neve mula berlakon dalam francais Scream sejak 30 tahun tatkala siri pertama filem itu, Scream ditayangkan pada 1996 dan meraih kutipan box-office AS$173 juta berbanding kos pembikinannya, cuma AS$15 juta.
Dan menurut laporan Deadline, skrip Scream 8 akan ditulis oleh duo, Lilla Zuckerman dan Nora Zuckerman.

Kejayaan Scream 7 arahan Williamson yang mengaut lebih AS$200 juta di pasaran box-office global (berbanding kos pembikinannya hanya AS$45 juta) sejak mula ditayangkan di pawagam pada 27 Februari 2026 pula, jelas telah membuka jalan untuk sekuel ke-lapan Scream.
Sehubungan itu, peminat Neve melihat penjualan rumah tersebut mungkin sekadar urusan hartanah… tapi timing-nya cukup ‘menarik’.
Dengan Scream 8 sedang dalam perancangan pembikinan , ramai tertanya-tanya adakah ini petanda Sidney Prescott, lakonan Neve dalam siri Scream bakal kembali (walaupun Neve dilaporkan berminat untuk muncul kembali dalam Scream 8)?
Atau… Neve Campbell sedang bersiap sedia untuk sesuatu yang lebih besar?
👀 Stay tuned. Dunia Hollywood jarang berlaku secara kebetulan.
