Saturday, May 23

The Devil Wears Prada 2, Michael malukan Marvel

Oleh BIANCA HILMAN

DUNIA Hollywood kini seolah-olah sedang memasuki era baharu apabila The Devil Wears Prada 2 muncul sebagai filem fenomena luar biasa di pawagam global; malah secara tidak langsung membuktikan filem superhero tidak lagi kebal di box-office.

Sekuel glamor yang mengembalikan dunia fesyen elit penuh drama itu terus mendominasi carta kutipan dunia sejak beberapa minggu lalu dengan jumlah kutipan terkumpul kini mencecah AS$546 juta (RM2.5 bilion), termasuk AS$370 juta daripada pasaran antarabangsa.

Lebih mengejutkan, filem arahan David Frankel itu masih mempunyai momentum besar dan dijangka melepasi angka AS$600 juta tidak lama lagi walaupun dihasilkan dengan bajet hanya sekitar AS$100 juta.

Kembalinya watak ikonik Miranda Priestly lakonan Meryl Streep bersama Andy Sachs yang dibawakan Anne Hathaway ternyata cukup untuk menghidupkan semula kegilaan peminat terhadap francais tersebut.

Aura nostalgia turut diperkukuhkan dengan kemunculan Emily Blunt dan Stanley Tucci yang kembali membawa karakter kegemaran ramai sebelum ini menerusi The Devil Wears Prada yang ditayangkan 20 tahun lalu itu.

Namun apa yang benar-benar mencuri perhatian Hollywood ialah bagaimana The Devil Wears Prada 2 berjaya mengatasi kutipan semua filem Marvel Studios sepanjang tahun 2025.

Antaranya termasuk The Fantastic Four: First Steps yang mengutip AS$522 juta, Captain America: Brave New World dengan AS$415 juta serta Thunderbolts yang sekadar memperoleh AS$382 juta.

Senario ini menguatkan lagi persepsi bahawa kegemilangan filem superhero semakin merosot selepas bertahun-tahun menguasai industri hiburan global.

Selepas pandemik Covid-19, hampir tiada francais superhero baharu benar-benar berjaya mencipta impak besar. 

Eternals misalnya hanya mencatat AS$402 juta di seluruh dunia, manakala sekuel Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings masih belum menjadi kenyataan.

Di kem DC Studios pula, naskhah Superman (2025) sememangnya berjaya dengan kutipan AS$618 juta, namun angka itu masih dianggap rendah jika dibandingkan dengan Man of Steel yang pernah mengutip AS$668 juta pada tahun 2013.

Hollywood juga sebelum ini menyaksikan beberapa kegagalan besar filem superhero termasuk The Marvels (2023) yang hanya meraih AS$206 juta di seluruh dunia berbanding kos AS$374 juta.

Selain itu, Madame Web, Kraven the Hunter dan Morbius turut gagal memenuhi jangkaan box office.

Filem-filem superhero terbitan DC Studios, Shazam! Fury of the Gods, The Flash, Blue Beetle dan Aquaman and the Lost Kingdom juga menerima nasib hampir sama apabila prestasi kutipannya dianggap mengecewakan.

Malah filem Black Adam yang dibintangi Dwayne Johnson turut gagal memulakan francais baharu seperti yang diharapkan.

Untuk rekod, tahun 2022 sebenarnya dianggap tempoh terakhir dominasi besar filem adiwira apabila Spider-Man: No Way Home meraih kutipan mencecah AS$1.9 bilion di seluruh dunia.

Ia diikuti kejayaan The Batman dengan AS$772 juta, Doctor Strange in the Multiverse of Madness sebanyak AS$955 juta dan Thor: Love and Thunder yang mengutip AS$760 juta.

Namun selepas itu, keretakan mula jelas kelihatan dalam genre tersebut.

Dalam masa sama, filem biopik muzik Michael pula terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya melepasi AS$700 juta di seluruh dunia (berbanding kos pembikinannya AS$170 juta), sekaligus dijangka mengatasi kutipan filem-filem superhero yang ditayangkan pada 2025.

Filem yang menyorot kehidupan Raja Pop global, Michael Jackson itu kini mencatat AS$703 juta secara global termasuk AS$421 juta dari pasaran antarabangsa dan AS$282 juta di Amerika Utara.

Dengan Jepun masih belum memulakan tayangan rasmi, Michael kini berpotensi memintas Bohemian Rhapsody sebagai filem biopik muzik paling laris sepanjang zaman.

Justeru, fenomena The Devil Wears Prada 2 dan Michael kini menjadi bukti jelas bahawa penonton global semakin tertarik kepada filem beremosi, nostalgia dan penceritaan kuat berbanding formula adiwira yang semakin kehilangan magisnya. – VOOLORA 21/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *