Saturday, May 23

Zombi spesies baharu ‘Colony’ pecah rekod box office 2026

Oleh BIANCA HILMAN

FILEM thriller zombi terbaru, Colony terus mencipta fenomena apabila berjaya merekodkan skor pembukaan tertinggi bagi tayangan tahun 2026 sebaik sahaja ditayangkan di pawagam Korea Selatan.

Filem ini memperkenalkan spesies zombi baharu yang sangat berevolusi.

Berbeza dengan zombie konvensional, spesies baharu ini bergerak dalam kelompok (koloni) dalam organisasi, mampu memperbarui informasi, dan meniru pergerakan manusia.

Spesies baharu ini muncul ketika sebuah persidangan bioteknologi.

Menurut data Rangkaian Komputer Bersepadu Majlis Filem Korea untuk Kemasukan Pawagam, filem arahan Yeon Sang-ho itu berjaya menarik seramai 199,759 penonton pada hari pertama tayangan pada Khamis, 21 Mei 2026.

Lebih mengejutkan, angka tersebut berjaya menewaskan The Devil Wears Prada 2 yang mencatat 150,767 penonton — perbezaan lebih 48,000 penonton hanya dalam tempoh sehari.

Malah, pencapaian itu turut mengatasi beberapa filem hit lain tahun ini termasuk The King’s Warden dengan 117,783 penonton dan Salmokji: Whispering Water yang merekodkan 89,911 penonton.

Ramai penonton memuji kekuatan filem ini yang kini juga sudah mual ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh Malaysia terutama dari segi suspens, pengarahan visual dan transformasi zombi yang dianggap lebih segar serta luar biasa berbanding filem genre sama sebelum ini.

Antara komen yang paling mencuri perhatian ialah bagaimana filem itu membuatkan penonton memahami mengapa ia dijemput ke festival filem antarabangsa, selain memuji gaya pengarahan tegang Yeon Sang-ho yang berjaya membuatkan penonton ‘melekat’ di kerusi sehingga kredit akhir.

Untuk rekod, Yeon Sang-ho sebelum ini mencipta fenomena menerusi Train to Busan yang dibintangi Gong Yoo, Don Lee, Jung Yu-mi dan Kim Su-an.

Filem zombi ikonik 2016 itu dianggap antara karya terbaik dalam genre berkenaan kerana berjaya menggabungkan elemen aksi ganas, emosi manusia dan ketegangan dalam ruang sempit sebuah kereta api.

Kini, Yeon kembali mempertaruhkan genre sama menerusi Colony yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Jun Ji-hyun, Koo Kyo-hwan, Ji Chang-wook, Shin Hyun-bin, Kim Shin-rok dan Go Soo.

Colony turut ditayangkan perdana di Cannes Film Festival dan menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik antarabangsa.

Dengan sepuluh ulasan awal, Colony kini mencatat skor 70 peratus di Rotten Tomatoes.

Walaupun masih belum menyamai pencapaian 95 peratus milik Train to Busan, filem ini tetap berada dalam kelompok lima karya terbaik Yeon Sang-ho setakat ini.

Sebahagian pengkritik menyifatkan Colony sebagai filem apokaliptik yang penuh aksi dan menghiburkan, namun ada juga yang merasakan elemen emosi serta lapisan naratifnya tidak sekuat Train to Busan.

Plot Colony mengisahkan mengenai seorang profesor bioteknologi terperangkap dalam wabak virus ketika menghadiri sebuah persidangan. Dia bersama mangsa lain kemudiannya terkurung di dalam sebuah fasiliti tertutup sambil berdepan ancaman manusia yang telah dijangkiti virus mutasi ganas.

Barisan pelakon utama turut menerima pujian kerana berjaya menghidupkan suasana panik, trauma dan ketakutan sepanjang filem berlangsung.

Dengan sambutan luar biasa ini, ramai pemerhati industri percaya Colony bakal muncul sebagai antara filem Asia paling besar dan paling diperkatakan sepanjang tahun 2026. VOOLORA 22/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *