Saturday, September 5

Spider-Man: Brand New Day pecah panggung RM3.8 bilion, bakal ditayang di Netflix

Oleh BIANCA HILMAN

LOS ANGELES: Filem Spider-Man: Brand New Day, mencipta sejarah apabila mencatat kutipan hujung minggu pembukaan AS$927 juta (RM3.8 bilion) di seluruh dunia dalam tempoh tayangan tayangan selama tiga hari, sekali gus menjadi pembukaan global kedua terbesar sepanjang zaman selepas Avengers: Endgame (2019) yang mencatat kutipan minggu pembukaan AS$1.2 billion.

Spider-Man: Brand New Day yang mula ditayangkan di seluruh dunia pada 31 Julai 2026 dihasilkan dengan kos AS$225 juta, kembali menampilkan  Tom Holland sebagai Peter Parker serta Zendaya, Jacob Batalon, Mark Ruffalo, Michael Mando, Sadie Sink, Jon Bernthal dan Tramell Tillman dalam barisan pelakon utamanya. 

Naskhah terbaharu Sony Pictures dan Marvel itu juga merupakan filem kedua terbesar dalam sejarah kutipan box office minggu pembukaan  Amerika Utara dengan memperoleh AS$355 juta, hanya dibezakan AS$2 juta di belakang Avengers: Endgame yang meraih AS$357 juta.

Kejayaan luar biasa itu turut menyaksikan filem arahan Daniel Destin Cretton itu membuktikan jenama Spider-Man masih mempunyai tarikan luar biasa di seluruh dunia. 

Tom Holland, di samping Zendaya dan Sadie Sink.

Sebagai perbandingan, filem terdahulu dalam francais itu, Spider-Man: No Way Home, mencatat kutipan pembukaan sebanyak AS$260 juta di Amerika Utara dan AS$600 juta hasil tayangan global.

Sehubungan itu, pengasas firma analitik box office Brighter Path, Chris Colombo, menyifatkan kejayaan filem itu sebagai ‘ribut yang sempurna’ bagi sebuah filem blockbuster.

“Anda mempunyai harta intelek yang kukuh, watak yang sangat popular, fenomena FOMO (fear of missing out), selain menerima ulasan positif daripada pengkritik,” katanya kepada CNN.

Prestasi cemerlang Spider-Man: Brand New Day turut meneruskan momentum kebangkitan industri pawagam selepas beberapa minggu mencatat kutipan memberangsangkan.

Tom Holland kembali sebagai Spider-Man menerusi filem Spider-Man: Brand New Day.

Filem The Odyssey terbitan Universal Pictures, juga lakonan Tom Holland yang mendapat sambutan hebat menerusi tayangan premium IMAX, turut mengatasi jangkaan apabila mengutip AS$124.5 juta pada hujung minggu pembukaannya di Amerika Utara. 

Filem epik berkenaan menambah lagi AS$51 juta pada hujung minggu ini, menjadikan kutipan globalnya meningkat kepada AS$721 juta.

Sementara itu, selepas menamatkan tayangan di pawagam kelak, Spider-Man: Brand New Day dijangka memasuki platform penstriman Netflix menerusi perjanjian hak siaran ‘Pay-1’ antara Sony Pictures dan Netflix yang berkuat kuasa sejak 2022.

Berdasarkan data What’s on Netflix, filem-filem Sony lazimnya tiba di Netflix kira-kira 120 hari selepas tayangan pawagam. 

Ini bermakna Spider-Man: Brand New Day dijangka mula distrim pada 28 November 2026, bertepatan hujung minggu Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat serta menjelang musim cuti Krismas. – VOOLORA 3/7/2026