
Oleh BIANCA HILMAN
BLUMHOUSE kembali menguasai dunia seram! Selepas beberapa kegagalan mengejutkan, termasuk M3GAN 2.0, studio perfileman ikonik ini bangkit semula dengan naskhan terbaharunya, Black Phone 2 – dan hasilnya? Luar biasa.
Sekuel yang ditunggu-tunggu ini berjaya mengutip AS$26.5 juta di Amerika Syarikat pada minggu pembukaan, jauh mengatasi jangkaan awal yang hanya meletakkannya sekitar AS$18 juta.

Di peringkat global pula, filem ini mengaut AS$42 juta, menjadikannya salah satu kutipan minggu pembukaan naskhah seram paling berjaya tahun ini di pawagam.
Sebagai perbandingan, filem asalnya, Black Phone yang ditayangkan pada tahun 2022 mengumpul kutipan keseluruhan mencecah AS$161 juta berbanding kosnya cuma AS$18 juta.
Aktor tersohor, Ethan Hawke kembali memegang watak pembunuh bersiri misteri – The Grabber dalam kisah yang lebih gelap dan penuh kejutan di samping pelakon filem asal Black Phone – Mason Thames (sebagai Finney), Madeleine McGraw (Gwen Blake) dan Jeremy Davies (Terrence Blake).
Naskhah ini turut dibintangi Arianna Rivas, Miguel Mora, Demián Bichir dan Maev Beaty.
Plotnya berkisar mengenai mimpi buruk yang menghantui remaja berusia 15 tahun, Gwen apabila dia menerima panggilan daripada sebuah telefon hitam dan mendapat visual tiga budak lelaki di sebuah kem sedang diintip untuk dijadikan mangsa pembunuhan.

Black Phone 2 diarahkan oleh Scott Derrickson, yang sebelum ini mencetus fenomena dengan filem asal, Black Phone.
Apa yang lebih menarik, penonton Latin yang diketahui sebagai antara golongan paling kerap ke pawagam membentuk sebanyak 39 peratus daripada jumlah penonton, memperkukuh lagi daya tarikan filem ini di pelbagai demografik.
Dengan bajet produksi sekitar AS$30 juta, pencapaian ini dianggap kemenangan manis buat Blumhouse dan Universal Pictures.
Tambahan pula, ulasan positif dan respons penonton yang kuat (termasuk skor CinemaScore B – satu pencapaian yang mantap untuk filem seram) menjanjikan potensi kutipan berterusan dalam minggu-minggu mendatang.
Black Phone 2 kini sedang ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh Malaysia sejak 16 Oktober 2025.
