
Oleh DEANNA DEAN
GUNUNG selalu digambarkan sebagai medan cabaran, tempat manusia mengukur kekuatan fizikal dan ketahanan jiwa.
Semakin ramai wanita kini memilih pendakian sebagai gaya hidup, sumber terapi, malah simbol kebebasan diri. Namun dalam kegairahan menawan puncak, tragedi yang menimpa seorang pendaki di Gunung Liang, Perak, baru-baru ini, mengingatkan kita bahawa alam tidak pernah berkompromi dengan mereka yang tidak bersedia.
Pendakian bukan sekadar soal semangat. Ia adalah kombinasi latihan fizikal, kesiapsiagaan mental, pengetahuan teknikal, sokongan kumpulan dan langkah keselamatan yang teliti, lebih-lebih lagi bagi wanita yang berdepan risiko fisiologi, emosi dan keselamatan yang berbeza daripada lelaki.
Jangan ambil remeh persediaan mendaki
Bagi pendaki wanita, proses persediaan sepatutnya bermula jauh lebih awal, bukan hanya pada malam sebelum hari mendaki.
Latihan stamina sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu sebelum pendakian diperlukan untuk melatih jantung dan paru-paru agar terbiasa dengan aktiviti intensif dalam tempoh panjang.
Otot kaki, paha dan lutut perlu kuat untuk mengharungi laluan curam. Tanpa persediaan ini, keletihan melampau boleh berlaku lebih awal, menyebabkan pendaki hilang fokus dan mudah panik, dua faktor utama yang sering membawa kepada kecederaan atau kehilangan arah.
Gunung juga tidak boleh dipilih secara sembarangan. Bagi mereka yang baharu, gunung seperti Angsi atau Datuk di Negeri Sembilan, lebih sesuai sebagai medan latihan, berbanding gunung yang lebih mencabar seperti Liang atau Tahan yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang lebih ekstrem.
Terdapat pendaki wanita yang nekad mengikuti kumpulan rakan hanya kerana ingin “rasa pengalaman sebenar”, tanpa memahami bahawa gunung kelas G7 bukan sekadar destinasi, tetapi ujian survival.
Mental kena kuat
Aspek mental juga sering diketepikan. Ramai pendaki wanita yang mengakui mereka pernah berasa gementar ketika menuruni cerun curam atau melalui kawasan gelap.
Ketakutan yang tidak terkawal boleh menyebabkan pernafasan menjadi laju, otak panik, tubuh menggigil dan fikiran hilang fokus. Ketika itu, risiko tergelincir atau jatuh meningkat.
Justeru, mengurus emosi adalah sama penting dengan mengurus langkah kaki. Mempelajari teknik kawalan pernafasan dan kekal tenang adalah sebahagian daripada survival.
Faktor keselamatan sosial turut menjadi pertimbangan. Pendakian secara solo semakin popular, termasuk dalam kalangan wanita, sering atas alasan mencari ketenangan atau cabaran diri.
Namun hakikatnya, pendakian sendirian membuka ruang bahaya bukan sahaja daripada alam seperti tergelincir atau sesat, tetapi ancaman manusia yang tidak dijangka.
Cari ketua berpengalaman
Mendaki secara berkumpulan dengan seorang ketua kumpulan yang berpengalaman jauh lebih selamat, terutama apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan.
Tubuh wanita juga mempunyai keperluan tersendiri, khususnya apabila mendaki ketika datang bulan. Kesakitan senggugut, kehilangan darah, keletihan dan risiko dehidrasi lebih cepat boleh menjejaskan prestasi.
Oleh itu, membawa ubat tahan sakit, pakaian dalaman tambahan, kit kebersihan dan memastikan hidrasi mencukupi adalah keperluan, bukan pilihan.
Peralatan turut memainkan peranan besar. Kasut mendaki dengan cengkaman kuat mengurangkan risiko tergelincir. Beg sandang tidak sepatutnya melebihi satu per empat daripada berat badan pendaki.
Lampu kepala (headlamp), peluit, ubat-ubatan ringan, makanan tinggi tenaga seperti `energy bar’ atau kacang, serta garam rehidrasi boleh menjadi penyelamat dalam keadaan tidak terduga.
Bahasa tubuh
Di sebalik semua persiapan, ada satu prinsip yang harus dipegang kuat oleh setiap wanita yang mendaki: belajar mendengar bahasa tubuh sendiri.
Jika lutut mula longgar, pandangan berbalam atau dada sesak, itu bukan tanda lemah, tetapi tanda tubuh meminta ruang. Memaksa diri demi “tak mahu susahkan kumpulan” atau “ego untuk sampai puncak” adalah kesilapan yang boleh membawa padah.
Hakikatnya, gunung akan sentiasa ada esok. Namun nyawa hanya satu.
Pendakian sepatutnya menjadi perjalanan pulang dengan cerita, bukan berita duka. Langkah seorang wanita di gunung adalah langkah keberanian yang luar biasa, tetapi biarlah keberanian itu hadir bersama ilmu, disiplin dan kesedaran bahawa keselamatan adalah puncak sebenar yang perlu ditawan terlebih dahulu.
