
CALON bebas berhaluan kiri, Catherine Connolly bakal dilantik Presiden Ireland yang ke-10 selepas memenangi pilihan raya dengan kemenangan besar.
Penggubal undang-undang bebas yang telah lama bersuara menyokong rakyat Palestin dan lantang mengenai ketidakpercayaannya terhadap dasar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Connoly itu akan mengisi jawatan Presiden Ireland untuk tujuh tahun akan datang.
Keputusan rasmi menunjukkan sokongan pengundi yang kuat untuk Connolly sebagai presiden, meraih majoriri 63 peratus undi sebaik sahaja undi rosak dikecualikan, berbanding 29% saingannya Heather Humphreys, daripada parti kanan tengah Fine Gael.

Mengulas kemenanganya, Connolly, 68, dalam kenyataannya di Dublin Castle berkata bahawa beliau akan memperjuangkan kepelbagaian dan menjadi suara untuk keamanan dan yang “membina dasar berkecuali kami.”
“Saya akan menjadi presiden inklusif untuk anda semua, dan saya menganggapnya sebagai penghormatan mutlak,” kata ibu kepada dua anak ini.
Terdahulu, Humphreys mengakui telah kalah pada awal Sabtu sebelum pengiraan undi selesai.
Connolly, bekas peguam yang berkhidmat sebagai penggubal undang-undang sejak 2016, lantang mengkritik Israel berhubung perang di Semenanjung Gaza.
Beliau juga telah memberi amaran terhadap tenaga ‘ketenteraan’ EU yang semakin meningkat berikutan pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine.
Ireland mempunyai tradisi berkecuali ketenteraan, tetapi pengkritiknya berkata ia berisiko mengasingkan sekutu negara itu.
Connolly akan menggantikan Michael D. Higgins, yang telah menjadi presiden sejak 2011, setelah berkhidmat maksimum dua penggal tujuh tahun.
Selain menjadi presiden ke-10 Ireland, Connoly juga wanita ketiga yang memegang jawatan itu.
Ahli politik itu telah mendapat sokongan daripada pelbagai parti berhaluan kiri, termasuk Sinn Féin, Parti Buruh dan Demokrat Sosial.

Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin mengucapkan tahniah kepada Connolly atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kemenangan pilihan raya yang sangat komprehensif’.
Martin berkata beliau tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan presiden baharu itu kerana ‘Ireland berterusan akan memainkan peranan penting di pentas global, dan ketika kami berharap untuk menjadi tuan rumah jawatan presiden EU pada separuh kedua 2026.”
Presiden Ireland akan mewakili negara di pentas dunia, menjadi tuan rumah kepada ketua negara yang melawat dan memainkan peranan penting dalam perlembagaan, tetapi mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti membentuk undang-undang atau dasar.
