
Oleh BIANCA HILMAN
KALAU anda fikir menjadi cucu Amitabh Bachchan secara automatik membawa anda ke dunia Bollywood, fikir semula!
Navya Naveli Nanda, anak perempuan Shweta Bachchan dan Nikhil Nanda, memilih jalannya sendiri – menggabungkan kecintaan pada fesyen dengan legasi perniagaan keluarga dalam sektor pertanian.
Navya, 27, yang juga pernah menapaki landasan peragaan Paris untuk Loreal, menegaskan bahawa dia tidak mahu terhad pada satu bidang sahaja.

“Saya suka mencuba perkara baharu… dari memasang traktor hingga catwalk di pentas peragaan, saya mahu lakukan semuanya,” katanya.
Dan memang, siapa sangka minat pada traktor boleh jadi inspirasi kerjaya?
Bagi Navya, traktor bukan sekadar alat; ia sebahagian daripada identitinya sejak kecil. Dia membesar di Delhi, membantu di bengkel keluarga dan belajar setiap langkah dalam dunia peralatan pertanian.

Kini, sambil menimba ilmu di IIM Ahmedabad, Navya aktif dalam perniagaan keluarga, Escorts Kubota yang bernilai lebih Rs 40,000 crore.
Walaupun masih di peringkat awal kerjaya, semangatnya jelas- belajar dari bawah, menghargai legasi keluarga, dan membawa perubahan dalam sektor pertanian.
Navya bukan sahaja inspirasi bagi wanita muda yang ingin mengikuti minat mereka tanpa mengorbankan legasi keluarga, tetapi juga contoh bagaimana kita boleh menggabungkan passion, karier, dan gaya hidup dalam satu perjalanan hidup.
Dari traktor ke runway, jelaslah, dunia ini milik mereka yang berani mencuba seperti Navya!
