Wednesday, July 22

Anok Yai ‘Model of the Year 2025’

Oleh BIANCA HILMAN

LANGIT fesyen berkilau sedikit lebih terang tahun ini. 

BRITISH FASHION COUNCIL (BFC) telah mengumumkan bahawa jelitawan unik berkarisma, Anok Yai, akan diberi penghormatan sebagai Model of the Year (Model Terbaik Tahun Ini) pada acara Fashion Awards 2025, tajaan Pandora. 

Majlis penuh pesona itu bakal berlangsung pada 1 Disember 2025, di lokasi berprestij Royal Albert Hall, London, tempat lahirnya detik-detik legenda dunia fesyen

Dilahirkan di Mesir kepada ibu bapa Sudan Selatan dan dibesarkan di Amerika Syarikat, kisah hidup Anok Yai, 27, ibarat filem penuh ilham – dari akar sederhana hingga menjadi wajah yang kini mendominasi pentas global. 

Tahun 2025 menyaksikan beliau berada di kemuncak karier: menghiasi muka depan Vogue France, mengepalai kempen gah untuk rumah fesyen agung seperti Versace, Alaïa, dan Saint Laurent, serta kekal sebagai wajah memukau wangian Alien Mugler. 

Bagi BFC, penghormatan ini bukan sekadar mengiktiraf kejayaan Anok di landasan peragaan, tetapi juga menyanjung impak budayanya – seorang wanita yang membawa perwakilan, seni dan visi ke dimensi baharu.

Namun, laluan perjalanan supermodel dengan ketinggian 1.78 meter ini ke puncak tidak pernah mudah. 

Sebelum sinaran kamera dan glamor fesyen antarabangsa, Anok hanyalah seorang pelajar biokimia yang menjalani kehidupan biasa – sehingga satu foto gaya jalanan tular di Instagram mengubah segalanya. 

Dalam sekelip mata, dunia mengenalinya. Kurang setahun kemudian, pada tahun 2019, dia mencipta sejarah apabila menjadi model pembukaan pertunjukan fesyen Prada, menjadi wanita kulit hitam kedua yang pernah meraih pencapaian itu selepas supermodel Naomi Campbell. 

Momen tersebut bukan sekadar langkah di atas pentas, tetapi langkah ke arah perubahan besar dalam sejarah fesyen dunia.

Aset bersih Anok ada 2025 dilaporkan berjumlah AS$9 juta. Beliau telah membina kekayaannya ini melalui kerjayanya yang berjaya sebagai model antarabangsa berprofil tinggi untuk beberapa jenama fesyen utama global dan memperoleh pendapatan yang tinggi, termasuk mengenakan bayaran sekitar AS$15,000 sejam untuk sesi fotografi.

“Dinobatkan sebagai Model of The Year 2025 adalah satu penghormatan,” bicara Anok penuh perasaan selepas pengumuman itu. 

“Perjalanan saya – dari Mesir ke Sudan Selatan,sebelum ke Amerika Syarikat adalah kisah tentang ketabahan dan komuniti. 

“Pengiktirafan ini adalah untuk semua orang yang pernah melihat kisah mereka dalam kisah saya. Terima kasih kerana meraikan kami.”

Anugerah berprestij ini mengiktiraf model yang pengaruhnya benar-benar ‘menggoncang’ industri fesyen global sepanjang setahun lalu. 

Panel penilai yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengaruh seperti Anita Bitton, Aston Em, Campbell Addy, Carlos Nazario, Emma Matell, Julia Sarr-Jamois, Kacion Mayers, Pat Boguslawski, Rosie Vogel dan Sophia Neophitou-Apostolou bersetuju – Anok Yai adalah wajah generasi ini.

Lebih daripada sekadar malam glamor, Fashion Awards juga menjadi acara pengumpulan dana utama bagi Yayasan BFC, yang berterusan membuka ruang buat bakat muda menggapai bintang. 

Melalui pendidikan, geran dan bimbingan, yayasan ini menjadi jambatan antara impian dan realiti — membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar tentang apa yang kita pakai, tetapi siapa kita dan apa yang kita perjuangkan.

Pada malam 1 Disember 2025 kelak apabila tirai Fashion Awards 2025 dibuka, semua mata akan tertumpu pada seorang wanita luar biasa – Anok Yai, simbol kecantikan, keberanian dan transformasi.

Justeru, Anok Yai kini meraih ‘pengesahan’ sebaris dengan Model of the Year sebelum ini termasuk Gigi Hadid, Adut Akech, Kaia Gerber, dan Bella Hadid.

Senarai pemenang Model of Year BFC 2016-2025:

  • 2025: Anok Yai
  • 2024: Alex Consani
  • 2023: Paloma Elsesser
  • 2022: Bella Hadid
  • 2019: Adut Akech
  • 2018: Kaia Gerber 
  • 2017: Adwoa Aboah
  • 2016: Gigi Hadid