
Trailer ‘teaser ‘rasmi filem biopik Michael Jackson, berjudul Michael telah mencipta sejarah. Dalam tempoh 24 jam pertama, tontonan di seluruh global mencecah 116.2 juta, menurut WaveMetrix, menjadikannya trailer filem biopik muzikal paling banyak ditonton dalam sejarah!
Filem lakonan utama Jaafar Jackson melakonkan watak Michael Jackson yang tidak lain dan tidak bukan ialah bapa saudaranya sendiri ini mempamerkan gerakan tarian ikonik seperti moonwalk dan klip video muzik legenda Thriller.
Diarahkan oleh Antoine Fuqua yang dikenali antaranya menerusi siri filem lakonan Denzel Washington, The Equalizer; naskhah biopik, Michael dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh dunia mulai 24 April 2026.
Jaafar Jackson hidupkan legasi Michael Jackson
Lahir pada Julai 1996, Jaafar Jackson adalah anak kepada Jermaine Jackson dan Alejandra Genevieve Oaziaza. Jermaine ialah abang Michael Jackson.
Sebagai ahli keluarga Jackson, Jaafar mewarisi bakat seni dan muzik yang luar biasa.
Sejak usia 12 tahun, Jaafar menonjol dengan bakat menyanyi dan menari, membawakan lagu legenda seperti Sam Cooke dan Marvin Gaye, selain lagu ciptaannya sendiri.
Single pertamanya, Got Me Singing (2019), mempamerkan kebolehan muziknya.
Kini, Jaafar dianggap sebagai salah satu bintang muda Jackson yang terus membawa legasi muzik keluarga ke generasi baru.
Sebelum ini, Jaafar muncul dalam projek keluarga seperti The Jacksons: Next Generation (pada 2015) dan video muzik Tito Jackson, Love One Another (2021).
Justeru, biopik Michael ini menandakan debut lakonan profesional berskala besar.
Mengulas lakonan Jaafar, Antoine Fuqua berkata: “Sangat mengujakan untuk menyaksikan Jaafar menghidupkan Michael.
“Terdapat hubungan rohani yang begitu kuat ketika saya pertama kali bertemu Jaafar, yang mempunyai kebolehan semula jadi untuk ‘menjelmakan’ Michael dan keserasian yang hebat dengan kamera,” katanya.
Jaafar menerima restu penuh Katherine jackson – neneknya yang juga ibu kepada Michael dan Jermaine, yang berkata Jaafar “menjelmakan” kembali anaknya.
“Sangat indah melihat dia meneruskan legasi penghibur dan penghibur Jackson,” kata Katherine kepada The Hollywood Reporter.
Jaafar sendiri berkongsi rasa rendah diri dan teruja di Instagram:
“Saya berasa rendah diri dan berbesar hati untuk menghidupkan kisah bapa saudara saya, saya. Kepada semua peminat di seluruh dunia, saya akan berjumpa anda tidak lama lagi.”
Biopik detik magis, ikonik Michael Jackson
Menerusi skrip yang ditulis oleh John Logan, sementara penerbitnya adalah Graham King, John Branca, dan John McClain, Michael bukan sekadar filem.
Ia adalah penghormatan kepada legenda muzik, membolehkan penonton melihat Michael Jackson dari perspektif yang belum pernah dilihat sebelumnya.
Dengan bakat semula jadi Jaafar Jackson, dedikasi, dan restu keluarga, legasi Michael Jackson akan terus hidup di layar perak, menonjolkan semua detik magis dan ikoniknya.
Filem ini menjejaki perjalanan Michael Jackson dari zaman kanak-kanak bersama Jackson Five hingga menjadi artis solo berwawasan.
Penonton akan dihidangkan dengan persembahan paling ikonik Michael, kehidupan peribadi di luar pentas, dan semestinya aspek kontroversi yang pernah melingkari hayat Raja Pop itu.
Selain Jaafar, barisan pelakon Michael terdiri daripada Miles Teller sebagai peguam John Branca, Colman Domingo (Joe Jackson), Kat Graham (Diana Ross), Nia Long (Katherine Jackson), Laura Harrier (Suzanne de Passe), Kendrick Sampson (Quincy Jones), dan Juliano Krue Valdi (Michael Jackson ketika muda)
