Sunday, April 19

Hujan lebat dijangka di utara, barat Semenanjung – MetMalaysia

Oleh DEANNA DEAN

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa negeri mulai hari ini hingga Selasa dijangka berlaku berikutan satu sistem tekanan rendah yang terbentuk di Selat Melaka dan kini berada pada kedudukan 5.4°U 98.3°T berhampiran perairan utara Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip, berkata sistem berkenaan hampir pegun dan dijangka bergerak ke arah barat laut menuju ke Teluk Benggala selepas tempoh 36 jam.

“Kemungkinan intensiti sistem ini untuk meningkat ke tahap siklon tropika lemah (Lekukan Tropika) adalah rendah.

“Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di negeri-negeri utara dan barat Semenanjung pada 23 hingga 25 November,” katanya menerusi laman rasmi “X” MetMalaysia, hari ini.

Berikutan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan kategori Bahaya, Buruk dan Waspada berkuat kuasa hingga Selasa, manakala amaran angin kencang dan laut bergelora di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor hingga esok.

MetMalaysia juga memaklumkan akan mengemas kini nasihat dan amaran berkenaan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini.

Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia serta talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.