
Oleh BIANCA HILMAN
SHAH ALAM: Hujan yang tidak berhenti sejak lewat petang Ahad menyebabkan 12 kawasan di bandar raya ini dinaiki air, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk serta kesesakan di beberapa laluan utama.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), antara kawasan paling terjejas ialah Taman Desa Kemuning di Seksyen 35, Kampung Budiman di Seksyen U14, Kampung Kubu Gajah di Seksyen U17, serta kawasan berhampiran pasar raya Giant di Seksyen 13.
MBSA turut mengesahkan beberapa lokasi lain yang mengalami situasi sama, termasuk:
- Taman Sri Lembayung, Seksyen 25
- Jalan Opera, Seksyen U2
- Persiaran Jubli Perak, Seksyen 19
- Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Seksyen 16
- Serta beberapa laluan utama di Seksyen 25 dan Seksyen 23
Susulan keadaan tersebut, MBSA menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui jalan yang terjejas dan menggunakan laluan alternatif sekiranya perlu. Penduduk juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya proses pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di kawasan masing-masing.
Dalam masa sama, MBSA memaklumkan bahawa pemantauan rapi sedang dijalankan di semua lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran aliran trafik di sekitar Shah Alam.
Sementara itu menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 1.44 petang hari ini, seramai 189 mangsa daripada 58 keluarga telah dipindahkan ke 8 pusat pemindahan sementara (PPS).
