Sunday, April 19

Runtuhan cerun di Seputeh: Dua blok pangsapuri Taman United dikosongkan

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh diarahkan dikosongkan selepas berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran pada pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Timbalan Penguasa Bomba II Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 pagi mengenai runtuhan cerun tanah sepanjang kira-kira 60 meter.

“Dua kereta dan beberapa motosikal terjejas akibat kejadian itu. Runtuhan tanah turut memasuki kawasan pangsapuri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil perbincangan di lokasi bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua blok pangsapuri serta premis berhampiran telah diarahkan dikosongkan.

Langkah itu diambil kerana masih terdapat pergerakan tanah selain keadaan cuaca yang ketika itu hujan lebat. Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Pihak bomba masih berada di lokasi untuk memantau sebarang pergerakan tanah yang mungkin berlaku.