
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Hajah Ida Riswana Idris, mengimbau pengalaman mencemaskan apabila beliau menjadi antara 4,000 rakyat Malaysia yang terperangkap dalam banjir besar di Hatyai, Thailand, baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku ketika beliau berada di tingkat 21 sebuah hotel, memantau keadaan sekeliling sambil berhubung dengan keluarga serta pihak konsulat bagi mendapatkan maklumat dan memastikan keselamatan semua pihak.
Ida menceritakan bagaimana situasi yang serba mendesak itu memaksanya bertindak secara spontan — daripada mencari bantuan pihak berkuasa dan konsulat, hinggalah memastikan keselamatan diri serta jemaah yang berada bersamanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemandu bas yang berani membantu peserta turun dari tingkat atas hotel dengan selamat, selain memuji pihak hotel yang tetap memastikan operasi berjalan, menyediakan makanan dan membekalkan tenaga walaupun berdepan gangguan elektrik.
“Pengalaman ini mengajar saya tentang kesabaran, ketahanan diri, dan semangat kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Sempena Pencapaian 50,000 Jemaah Berdaftar 1447H di sini, hari ini.
Selain pengalaman getir di Hatyai, Ida turut menekankan keperluan menjaga setiap jemaah sebagai individu, termasuk mereka yang memerlukan rawatan perubatan khas.
Menurutnya, Andalusia menyasarkan untuk menyantuni 80,000 jemaah setahun, dan sehingga musim 1447 Hijrah ini, lebih 51,000 jemaah telah berjaya didaftarkan.
Justeru, beliau menyeru masyarakat agar memilih pakej perjalanan yang komprehensif serta agensi pelancongan yang benar-benar prihatin demi menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.
“Setiap usaha ikhlas dalam menyantuni umat Islam akan diberi ganjaran,” ujarnya.
Bagi dirinya, pengalaman di Hatyai menjadi pengajaran bermakna bahawa walaupun berdepan cabaran luar jangka seperti banjir, kerjasama, semangat kekeluargaan dan kesiapsiagaan mampu memastikan keselamatan semua pihak.
