
Oleh BIANCA HILMAN
FILEM sekuel animasi Disney, Zootopia 2 terus menguasai pawagam dunia dengan anggaran ‘ledakan’ kutipan tiket minggu pembukaanhasil tayangan di rangkaian pawagam global melebihi AS$525 juta menjelang Ahad.
Ia susulan, sehingga Jumaat, jumlah kutipan global filem yang dihasilkan dengan kos AS$150 juta itu kini mencecah AS$233 juta, termasuk AS$135.3 juta dari pasaran antarabangsa.
Namun lubuk ‘pecah panggung’ utama di peringkat global ialah China. Pada hari Sabtu sahaja, filem ini meraih kutipan sebanyak AS$104 juta di negara itu – angka yang tidak termasuk dalam jumlah global di atas.
Pencapaian itu juga menjadi hari kutipan tertinggi untuk filem Hollywood, mengatasi rekod Avengers: Endgame, dan menandakan peningkatan 160% berbanding kutipan yang diraih pada Jumaat.
Dari segi kutipan hari pembukaan tayangan di China, Zootopia 2 kini merupakan filem studio No 1 2025 produksi Hollywood No 1 sejak 2021.
Setakat ini, Zootopia 2 telah dibuka di 51 pasaran (dengan Jepun menyusul menjelang Disember). Enam pasaran baharu ditambah pada Jumaat – termasuk Sepanyol dan United Kingdom.
Di benua Eropah, filem yang menampilkan suara Ginnifer Goodwin dan Jason Bateman untuk dua karakter utama, Judy Hopps and Nick Wilde itu menduduki No. 1 di hampir semua negara kecuali United Kingdom, di mana filem lakonan Ariana Grande, Wicked: For Good masih mencuri tumpuan.
Sebagai perbandingan, filem asalnya, Zootopia yang ditayangkan pada 2016 dengan kos AS$150 juta telah meraih kutipan keseluruhan hasil tayangan di seluruh dunia mencecah AS$1.025 bilion.
