Tuesday, July 21

Vacasia lantik Dr. Izhar Ariff sebagai penaung & penasihat kehormat

KUALA LUMPUR: Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd (Vacasia) Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd (Vacasia), terus memperkukuh kedudukan strategiknya dalam industri pelancongan dan umrah dengan melantik Prof Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai Penaung dan Penasihat Kehormatnya.

Anak syarikat kepada Andalusia Travel & Tours (Andalusia) ini turut melancarkan pakej ‘Umrah Sunnah & Hadis -1 Hari, 1 Sunnah, 1 Hadis’, iaitu antara inisiatif pembaharuan yang dirangka khusus bagi memberikan pengalaman ibadah bernilai tinggi kepada para jemaah.

Program ini akan dibimbing secara langsung oleh Dr Izhar Ariff sendiri dan menekankan penghayatan sunnah serta hadis sahih sepanjang berada di Tanah Suci.

Pelantikan Dr Izhar Ariff telah dimeterai dalam sebuah majlis rasmi yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Hadir pada majlis pelantikan dan pelancaran ialah kepimpinan tertinggi Vacasia, Pengarah Urusan, Adam Ibrahim; Pengarah Vacasia, Muhd Jafni Mustapha dan Ili Fatin Ibrahim; serta Pengarah Pemasaran, Nurun Najwa Muhammad Nazri.

Turut hadir Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim Mat Sin, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah, kakitangan Vacasia serta wakil-wakil syarikat penerbangan.

Adam Ibrahim

Dalam ucapan aluannya, Adam menegaskan komitmen Vacasia dalam mengangkat standard industri umrah melalui nilai amanah dan ibadah, bukan sekadar aspek komersial.

“Industri umrah bukan sekadar urusan perniagaan, tetapi ia amanah yang menuntut kesungguhan dalam menyantuni jemaah,” katanya.

Menurutnya, walaupun Vacasia masih muda dalam industri, kekuatan syarikat kini digerakkan oleh tenaga anak muda yang memiliki kepelbagaian bakat dalam operasi, pemasaran, digital dan pengurusan acara.

“Justeru, pelantikan tokoh ilmuwan seperti Dr Izhar Ariff diyakini mampu menggabungkan tenaga muda dengan kebijaksanaan ilmiah yang diperlukan bagi membentuk pendekatan lebih progresif.

Tambah beliau, pelantikan Dr Izhar Ariff sebagai Penaung dan Penasihat Kehormat Vacasia diyakini memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat pelancongan progresif yang menekankan ilmu, amanah dan keberkatan dalam setiap perkhidmatannya.

“Langkah ini disifatkan sebagai pemangkin kepada pembinaan legasi baharu Vacasia dalam memberi manfaat kepada seluruh masyarakat amnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pelancaran pakej ‘Umrah Sunnah & Hadis’ menandakan pembaharuan utama Vacasia dalam memastikan setiap hari jemaah di Tanah Suci diisi dengan ilmu yang sahih dan praktikal.

“Setiap hari jemaah akan mendalami satu sunnah dan satu hadis. Kita mahu mereka pulang membawa kefahaman dan perubahan dalam ibadah,” jelasnya.

Sementara, mengulas penerimaan pelantikan tersebut, Dr. Izhar Ariff pula menyatakan keyakinannya terhadap komitmen pasukan muda Vacasia.

 “Vacasia bukan hanya berorientasikan kejayaan komersial, tetapi juga ingin memberikan manfaat kepada masyarakat. Ini satu usaha yang membawa keberkatan,” katanya.

Beliau menambah bahawa industri umrah kini memasuki era baharu, dipacu generasi muda yang membawa perspektif segar dan kemahiran digital yang relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Anak muda memberi nafas baharu kepada industri. Vacasia berada pada landasan yang tepat dengan memberi ruang kepada generasi ini memimpin perubahan,” ujarnya.

Dr. Mohd. Izhar Ariff

Dr Izhar Ariff juga berkongsi perjalanan hidupnya sewaktu menuntut ilmu di Syria selama 10 tahun yang mana ketika itu bergantung kepada bantuan zakat dan sumbangan kerajaan.

Beliau mengakui bahawa segala nikmat yang diterima merupakan ujian Allah bagi mengukur tahap kesyukuran.

“Saya pernah berada dalam keadaan sangat sempit, tetapi saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap nikmat adalah ujian untuk melihat sejauh mana kita bersyukur dengan pemberian-Nya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang kerjayanya, hanya dua syarikat yang beliau terima sebagai rakan kerjasama rasmi kerana beliau amat berhati-hati dalam menjaga amanah dan keberkatan, terutama apabila melibatkan wang orang ramai.

Katanya, pelawaan Vacasia diterima kerana keyakinannya terhadap kesungguhan anak muda dalam syarikat tersebut.

“Saya lihat Vacasia bukan hanya mahu berjaya, tetapi mahu memberi manfaat kepada masyarakat. Itu tanda keberkatan,” tegasnya.

Dalam amanatnya, beliau menekankan pentingnya mengurus rezeki secara amanah, menepati janji serta membantu golongan memerlukan melalui zakat dan sedekah.

“Kaya bukan untuk menunjuk, tetapi untuk membantu. Rezeki mesti digunakan untuk kebaikan,” ujarnya.

Dr. Mohd Izhar Ariff (kiri) bersama Adam Ibrahim (kanan) menunjukkan poster pakej ‘Umrah Sunnah & Hadis’ yang akan dibimbing secara langsung oleh Dr. Mohd Izhar Ariff sendiri.

Sementara, Adam ketika menjawab soalan mengenai keunikan pakej ‘Umrah Sunnah & Hadis’ menjelaskan bahawa pakej tersebut bersifat inklusif, merangkumi pilihan sederhana hingga premium.

“Ini pakej yang terbuka untuk semua golongan, dan kita mahu lebih ramai mendapat manfaat,” jelasnya.

Adam turut menjelaskan bahawa pakej ini bukan sekadar membawa jemaah menunaikan ibadah, tetapi membina pengalaman rohani yang mampu melonjakkan disiplin, produktiviti dan nilai Islam dalam kehidupan seharian. 

Beliau menyarakan, Vacasia menyasarkan sehingga 500 jemaah setahun, disokong oleh kempen promosi melalui laman web dan media sosial rasmi syarikat, TikTok dan Instagram.

“Dengan harga bermula RM7,890, kami berharap lebih ramai jemaah dapat menyertai dan merasai manfaat program ini,” katanya.

Barisan kepimpinan tertinggi Vacasia Tours & Travels Sdn Bhd yang digerakkan oleh tenaga anak muda yang memiliki kepelbagaian bakat dalam operasi, pemasaran, digital dan pengurusan acara.