Saturday, May 30

Bella Hadid jayakan konsert ‘Artists For Aid’ untuk Palestin & Sudan

Oleh BIANCA HILMAN

KONSERT kemanusiaan Artists For Aid kembali untuk edisi ketiganya dengan barisan bintang yang lebih besar, lebih berpengaruh dan lebih bersemangat untuk membantu mangsa konflik di Palestin dan Sudan. 

Acara istimewa ini dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Fonda Theatre, Los Angeles, dan akan dikendalikan oleh dua ikon besar dunia hiburan — supermodel, Bella Hadid dan pelakon filem Fantastic Four, Pedro Pascal.

Edisi kali ini sekali lagi dianjurkan oleh artis Sudan-Kanada, Mustafa, yang sejak dua tahun lalu komited menggunakan platform seni untuk mengumpulkan dana bantuan kemanusiaan. 

Inisiatif Artists For Aid mula diperkenalkan pada tahun 2024, dengan acara sulung di Newark, New Jersey pada Januari tahun tersebut, disusuli persembahan di London pada Julai 2024. Kedua-duanya berjaya menghimpunkan sokongan padu artis antarabangsa dan peminat muzik seluruh dunia.

Beberapa artis terkenal yang pernah tampil dalam siri persembahan ini termasuk Yasiin Bey, Clairo, Earl Sweatshirt, Daniel Caesar, dan FKA Twigs, dengan hasil kutipan disalurkan kepada organisasi bantuan di Gaza dan Sudan. 

Tradisi itu diteruskan untuk konsert pada 2026 adalah dengan barisan persembahan yang lebih besar, menampilkan nama-nama seperti Shawn Mendes, Clairo, Lucy Dacus, Geese, Alex G, Blood Orange, Daniel Caesar, Faye Webster, Jazmine Sullivan, Noname, Noor Hindi, Omar Apollo, Raphael Saadiq, Ravyn Lenae, Rex Orange County, Safia Elhillo, Snoh Aalegra, Tamino, 070 Shake, serta Mustafa sendiri.

Semua hasil kutipan daripada konsert ini akan disalurkan terus kepada Persatuan Doktor Amerika Sudan dan Tabung Bantuan Kanak-kanak Palestin (PCRF).

Kedua-dua organisasi ini menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan kritikal kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan, peperangan dan perpindahan paksa.

Peminat yang ingin menghadiri acara atau mendapatkan maklumat pra-jualan boleh mendaftar di laman rasmi mereka, artistsforaid.org. 

Dengan sokongan artis antarabangsa dan barisan pengacara berprofil tinggi seperti Bella Hadid dan Pedro Pascal, edisi 2026 dijangka menjadi antara konsert amal paling berpengaruh pada tahun tersebut.