
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Banjir besar yang dicetuskan oleh hujan lebat luar biasa serta kesan Ribut Tropika Senyar telah melanda beberapa negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, mengorbankan lebih 300 orang dan menjejaskan berjuta-juta penduduk di Sri Lanka, Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Situasi yang dianggap antara yang terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut memusnahkan infrastruktur, menenggelamkan penempatan, memutuskan hubungan jalan raya dan mengganggu operasi harian di banyak kawasan.

Thailand merupakan negara paling terjejas di Asia Tenggara setakat ini, selepas mencatatkan jumlah korban sebanyak 145 orang, menurut jurucakap kerajaan negara itu.
Lebih 100 kematian direkodkan di wilayah selatan Songkhla, lokasi yang paling teruk dilanda bencana apabila limpahan air menenggelamkan rumah, hotel dan kawasan komersial utama.
Negara itu yang dijadual menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara bulan depan turut mengumumkan pemindahan 11 acara sukan ke Bangkok akibat keadaan banjir yang kritikal di selatan.

Di Indonesia, hujan luar biasa sejak beberapa hari lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 orang maut di beberapa kawasan di pulau Sumatra.
Pasukan penyelamat kini berlumba-lumba mencari ramai lagi mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh meranapkan banyak penempatan. Gangguan bekalan elektrik, jalan raya yang terputus dan tanah runtuh turut menghalang operasi mencari serta menyelamat.
Sri Lanka turut merekodkan bencana besar selepas banjir dan tanah runtuh yang mencatat rekod telah meragut 56 nyawa.

Negara itu terus menerima hujan baharu selepas Siklon Ditwah melanda pada hari Jumaat, memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan risiko bahaya susulan kepada komuniti yang sudah pun terjejas teruk.
Malaysia juga tidak terkecuali apabila beberapa kawasan di semenanjung terjejas akibat hujan lebat yang sama, memaksa ribuan penduduk berpindah dan mengganggu perhubungan di kawasan tertentu walaupun skala kerosakan tidak seteruk negara jiran.
Secara keseluruhan, rantau Asia Tenggara kini berdepan beberapa banjir terbesar dalam sejarah terkini, dengan berjuta-juta orang di Indonesia,

Vietnam, Thailand dan Malaysia terjejas dalam tempoh yang singkat.
Operasi menyelamat sedang giat dijalankan di semua negara terbabit, namun usaha itu berdepan kesukaran akibat paras air yang tinggi, jalan yang terhalang, serta kerosakan infrastruktur asas.
Dengan ramalan hujan yang masih belum menunjukkan tanda berakhir, pihak berkuasa di seluruh rantau menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan bagi mengelakkan pertambahan korban.
