Saturday, May 30

“Semoga ditemui selamat…’ – Hari ketiga  kehilangan Nur Izzati Humairi 

Oleh BIANCA HILMAN

HULU SELANGOR: Suasana pilu dan penuh debar terus menyelubungi kawasan Bukit Changkat Asa apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, memasuki hari ketiga hari ini.

Harapan ahli keluarga agar Nur Izzati ditemui dalam keadaan selamat masih belum pudar walaupun sehingga kini tiada petunjuk baharu berjaya ditemukan pasukan penyelamat.

Operasi SAR yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diperluaskan kepada radius pencarian seluas 0.5 kilometer persegi dengan fokus pencarian di kawasan timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Menurut Pegawai Kanan JBPM, Azliza Ahmad, pasukan penyelamat menggunakan teknik ‘sweeping’ selain bantuan dron daripada Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor bagi meneliti kawasan hutan dari udara.

Seramai 90 anggota melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan sukarelawan berganding bahu dalam misi tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta pasukan malim gunung.

Turut membantu operasi ialah tiga ekor anjing pengesan yang digunakan bagi mengesan jejak mangsa di kawasan pendakian yang mencabar itu.

Difahamkan, trek menuju puncak Bukit Changkat Asa hanya sejauh kira-kira 800 meter dengan ketinggian 267 meter dan lazimnya pendaki akan menggunakan laluan sama untuk turun.

Namun kehilangan Nur Izzati mencetuskan kebimbangan ramai, terutama dalam kalangan komuniti pendaki dan penduduk setempat.

Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat pada 10.50 pagi Sabtu lepas. 

Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap dan seluar panjang hitam serta kasut biru. 

Sementara, tinjauan di PKTK turut menyaksikan ahli keluarga Nur Izzati setia menunggu perkembangan operasi SAR dalam suasana penuh debar dan emosi. Walaupun jelas kelihatan sugul dan keletihan, mereka memilih untuk tidak ditemu bual media.

Di media sosial, orang ramai turut membanjiri ruangan komen dengan doa dan kata-kata semangat buat keluarga mangsa. Rata-rata berharap remaja itu kuat bertahan sementara pasukan SAR terus berusaha tanpa henti menjejakinya.

Selagi belum ditemui, selagi itu harapan masih ada. – VOOLORA 25/5/2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *