Thursday, April 2

Laluan stesen LRT/MRT/Monorel Titiwangsa ditenggelami ‘sungai’

Oleh BIANCA HILMAN

KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang disertai ribut dan kilat serta guruh bermula kira-kira jam 5 petang selama lebih kurang sejam hari ini, telah menyebabkan banjir kilat yang muncul seakan sungai sehingga menenggelamkan laluan jalan raya di stesen pertemuan Monorel/LRT/MRT Titiwangsa, berhampiran Jalan Pahang, di sini.

Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial oleh netizen mendapati limpahan air terjadi begitu pantas, menyebabkan banjir kilat itu dipercayai susulan paras Sungai Gombak berdekatan stesen pengangkutan awam tersebut yang naik hingga melimpahi tebing susulan hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran kelihatan ditenggelami banjir kilat, sambil beberapa buah kenderaan termasuk kereta dan motosikal dilihat nekad mengharunginya.

Stesen Titiwangsa ialah stesen gabungan (interchange) untuk LRT, MRT dan Monorel, yang mana ia disambungkan kepada laluan LRT Ampang/Sri Petaling, Monorel KL dan laluan MRT Putrajaya

Stesen ini berdekatan dengan Sungai Gombak dan kawasan bas/stesen bas (Titiwangsa Sentral) di sekitar Jalan Tun Razak.

Beberapa pengguna media sosial berkongsi video dan gambar banjir di kawasan pusat bandar termasuk sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.

Antara laporan paling membimbangkan ialah dakwaan bahawa ‘tebing sungai berkaitan kawasan Titiwangsa’ dikatakan pecah, menyebabkan aliran air deras memasuki kawasan berhampiran stesen atau bangunan sekitarnya.

Namun ketika itu, dakwaan tebing pecah berkenaan belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa dan banyak maklumat masih berdasarkan video media sosial.

Namun kemudiannya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataanya berkata, ia telah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 malam.

Sebanyak 18 anggota dari dua balai bomba serta dua jentera FRT dikerahkan ke lokasi terjejas.

Menurut kenyataan JBPM itu lagi, limpahan air Sungai Gombak tersebut akhirnya telah surut dan ‘tidak ada mangsa dilaporkan serta tiada kerosakan harta benda’.

Sementara, kawasan-kawasan selain Titiwangsa juga terjejas termasuk Jalan Sentul Pasar (Taman Bahagia), Jalan Haji Salleh (Sentul), serta beberapa lokasi di sekitar Jalan Ipoh/Kampung Chubadak Dalam.

utama menuju Titiwangsa dan kawasan sekitar sesak teruk serta sukar dilalui.

Di Jalan Ampang pula, aliran kenderaan dari Bukit Nanas menuju Ampang tergendala sepenuhnya bermula jam 6 petang, dengan deretan kereta tidak bergerak dalam tempoh yang lama.

Kesesakan lalu lintas semakin teruk apabila jumlah kenderaan dari arah Jalan P. Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng bertambah, di tambah pemandu kenderaan yang cuba keluar dari bangunan komersial dan parkir berbayar sekitar KLCC turut terperangkap dalam kesesakan itu.

Beberapa video  dan gambar tular di media sosial memaparkan kenderaan di hadapan KLCC berdekatan Wisma Getah tidak bergerak selama hampir 30 minit, selain video yang memaparkan beberapa jalan dinaiki air akibat limpahan sungai di beberapa kawasan di ibu negara.

Situasi sama turut dilaporkan di Jalan Tun Razak, dengan aliran trafik dari arah Sungai Besi dan Jalan Pahang mengalami kelewatan ketara.

Aliran trafik di Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) turut terjejas, namun kenderaan di laluan itu masih dapat bergerak perlahan sedikit demi sedikit.