
Oleh BIANCA HILMAN
DI sebalik pesona dan senyuman manisnya, penyanyi tersohor Nourul Depp menyimpan sebuah kisah getir yang hanya kini berani dikongsikan.
Lima tahun lalu, beliau menghadapi keputusan paling besar sebagai seorang wanita, terpaksa pembedahan membuang rahim dan ovari selepas disahkan menghidap kanser pada tahun 2018.
Nourul, atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 48, mengakui ketika itu beliau tidak terbuka berkongsi penderitaannya dengan masyarakat dan peminat.
Namun syukur, langkah mendapatkan rawatan awal telah menyelamatkannya daripada kanser memasuki fasa lebih serius.
Menurut Nourul, sebaik mengetahui dirinya menghidap kanser, doktor mencadangkan suntikan vaksin virus papiloma manusia (HPV) selama enam bulan, rawatan lazim bagi wanita yang menghadapi masalah di bahagian rahim.
Tetapi katanya, tempoh itu tidak memulihkan keadaan malah kanser semakin muncul, berubah daripada pra kepada tahap satu.
Lebih mencabar, semua ini berlaku serentak dengan kehamilan anak keempatnya, Isabella.
“Kalau keadaan lebih teruk, memang saya takkan mampu mengandung,” luahnya pada sidang media Konsert For You: Nourul, Selasa lalu.
Selepas pemeriksaan lanjut mengesahkan sel kanser masih wujud, keputusan berat akhirnya perlu dibuat.
“Saya buat analisis sekali lagi dan ternyata ia memang kanser. Jadi saya putuskan untuk membuang rahim dan ovari,” jelasnya.
Namun cabarannya tidak berhenti di situ. Nourul turut mengakui tekanan melampau akibat ditipu sebuah syarikat tempatan pada 2018 menjadi antara faktor menyumbang kepada penyakitnya itu.
Syarikat tersebut berjanji menaja RM80,000 untuk album bahasa Perancisnya, tetapi turut meminta beliau mengeluarkan wang sendiri terlebih dahulu untuk menghasilkan album tersebut.
Walaupun perjanjian telah ditandatangani, janji itu tidak ditepati. Nourul dan suaminya sudah mengeluarkan kos sendiri, namun syarikat terbabit menghilang begitu sahaja.
“Sampai hari ini saya tak terima pun RM80,000 itu,” katanya mengenai sebuah lagi dugaan besar dalam hidupnya.
Namun ada sinar di balik kegelapan yang melanda. Nourul bersyukur, keputusan melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun memberi peluang untuk rawatan segera.
Dan saat ini Nourul mengumumkan bahawa beliau bebas kanser tanpa perlu menjalani kemoterapi.
Kini, selepas melewati perjalanan penuh air mata dan kekuatan itu, Nourul kembali ke pentas besar konsert.
Konsert solonya, Konsert For You: Nourul, anjuran Rong Geng Entertainment, dijadualkan berlangsung pada 17 April tahun depan di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket telah mula dijual sejak 2 Disember 2025 melalui platform Ticket2u.
