
Oleh BIANCA HILMAN
Zootopia 2 terus mencipta fenomena box-office di China, apabila kutipan rasmi sekuel Zootopia (2019) itu melepasi 2 bilion yuan (sekitar AS$280 juta), sekali gus menobatkannya sebagai filem animasi import dengan kutipan tertinggi dalam sejarah negara itu.
Pencapaian tersebut bukan sahaja memecah rekod tempatan, malah mengukuhkan kedudukan China sebagai pasaran terbesar dunia bagi sekuel animasi Disney ini.
Dilancarkan serentak dengan Amerika Utara, prestasi Zootopia 2 di tanah besar China melonjak jauh mengatasi kutipan domestiknya di Amerika Syarikat, menjadikan pasaran China pemacu utama kejayaan global filem tersebut.
Sejak tayangan rasmi di 57 negara dan wilayah bermula 26 November 2025, data kutipan filem itu sehingga jam 5 petang pada 1 Disember 2025 mencatatkan jumlah kutipan global mencecah AS$818 juta, dengan China menyumbang AS$278 juta, bersamaan 33.9% daripada jumlah kutipan keseluruhan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarang China Film News, Zhang Jinfeng kejayaan besar ini mencerminkan luasnya pasaran, permintaan pengguna yang kukuh, serta potensi pertumbuhan besar dalam industri filem China.
Beliau turut menegaskan bahawa China kini menjadi ‘enjin’ ‘penting dalam pertumbuhan industri filem global dan simbol kepada pendekatan terbuka dan inklusif negara itu terhadap karya antarabangsa.
Tidak hanya berjaya di pawagam, fenomena Zootopia turut menular ke pasaran produk berkaitan.
Walt Disney Company mendedahkan bahawa sejak Disember 2023, perniagaan pelesenan IP Zootopia di Tanah Besar China meningkat tiga kali ganda.
Menjelang akhir 2025, lebih 2,000 produk berlesen bakal memasuki pasaran negara itu.
Selain barangan rasmi edisi terhad, Disney turut bekerjasama dengan lebih 70 jenama terkenal, menghasilkan rangkaian produk jenama bersama yang kini mendapat sambutan hangat.
Dengan momentum luar biasa ini, Zootopia 2 bukan sahaja menjadi kejayaan besar Disney, tetapi juga satu penanda bahawa pasaran China terus menjadi kuasa utama dalam landskap hiburan global. Jika trend ini berterusan, filem itu berpotensi mengukir lebih banyak rekod dalam beberapa minggu akan datang.
