
Oleh BIANCA HILMAN
DC Studios akhirnya mengeluarkan teaser dan sinopsis rasmi pertama untuk filem Supergirl terbaharu, menampilkan pelakon berbakat Milly Alcock sebagai Kara Zor-El.
Filem yang dijadualkan tayang pada 26 Jun 2026 ini bakal mengembangkan lagi dunia DC Universe (DCU) dengan kisah asal-usul baharu untuk wira wanita tersebut.
Menurut sinopsis rasmi, Kara Zor-El yang sebelum ini muncul cameo dalam babak akhir filem Superman (2025) sebagai sepupu Superman; berdepan cabaran besar apabila musuh kejam yang tidak dijangka mengancam seluruh galaksi.

Dalam perjalanan itu, Kara bekerjasama dengan sekutu yang tidak disangka, sambil mengimbas kembali kehidupannya di Krypton.
Filem ini akan menyelami sisi emosional dan sejarah Kara yang membentuknya menjadi Woman of Tomorrow.
Milly Alcock sebelum ini dikenali ramai menerusi lakonannya sebagai Rhaenyra Targaryen muda dalam siri popular House of the Dragon.
Lakonan efektifnya dalam siri tersebut melonjakkan namanya sebagai antara pelakon muda paling menyerlah generasi baharu.
Dengan karisma dan kemampuan emosi yang tinggi, pemilihannya sebagai Supergirl dilihat sebagai langkah besar dalam kerjaya Hollywoodnya.

Barisan pelakon turut diperkuatkan oleh Jason Momoa, pelakon Amerika yang terkenal menerusi watak Aquaman dalam siri filem Aquaman dan Khal Drogo menerusi siri Game of Thrones.
Dalam Supergirl, Momoa muncul sebagai Lobo, pemburu kepala intergalaksi yang terkenal dengan personalitinya yang liar, lantang dan penuh kekacauan — watak yang dilihat sesuai dengan gaya lakonan Momoa yang energik dan bertenaga.
Supergirl turut dibintangi Matthias Schoenaerts sebagai Krem of the Yellow Hills, Eve Ridley (watak Ruthye Marye Knoll), David Krumholtz (sebagai Zor-El), Emily Beecham (Alura In-Ze0 dan Ferdinand Kingsley ( Elias Knoll).

Filem ini diarahkan oleh Craig Gillespie, dikenali melalui karya seperti I, Tonya dan Cruella, dengan skrip oleh Ana Nogueira. Penerbit terkenal DC Studios, Peter Safran dan James Gunn, turut menyelia projek besar ini.
Filem ini diinspirasikan daripada siri komik Supergirl: Woman of Tomorrow karya Tom King dan Bilquis Evely, yang terkenal dengan penceritaan mendalam dan beremosi.
Ia dijangka memberi perspektif baharu kepada karakter Kara, jauh berbeza daripada gambaran tradisi Supergirl dalam media sebelum ini.
