
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Bekas isteri Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, bakal memfailkan tindakan sivil terhadap bekas suaminya susulan dakwaan pecah masuk kediaman, mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci rumah tanpa kebenaran.
Peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata anak guamnya kini berada di luar negara dan dijangka membuat laporan polis sebaik tiba di tanah air, esok, berhubung tindakan yang didakwa membawa keluar pelbagai barangan miliknya daripada kediaman berkenaan tanpa notis dan keizinan.
Menurut Akberdin, tindakan itu jelas melanggar undang-undang walaupun rumah berkenaan didaftarkan atas nama Nubhan. Katanya, sesiapa pun termasuk pemilik rumah tidak boleh memasuki atau mengeluarkan barangan daripada sesuatu kediaman sekiranya terdapat penghuni sah, tanpa kebenaran atau perintah mahkamah.
“Dr Afifah akan mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi kerana perbuatan itu melanggar undang-undang. Tambahan pula, Nubhan sedia maklum bahawa tuntutan harta sepencarian masih berjalan di mahkamah. Persoalannya, di mana anak-anak hendak tinggal? Sepatutnya bekas isteri dan anak-anak dibenarkan terus menghuni rumah itu sehingga mahkamah membuat keputusan,” katanya kepada BH Online, hari ini.
Akberdin turut menegaskan, gambaran seolah-olah tindakan itu dilakukan secara berhemah adalah tidak tepat kerana perbuatan memasuki rumah, mengeluarkan barangan dan menukar kunci tanpa kebenaran penghuni serta tanpa perintah mahkamah merupakan satu kesalahan.
Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik, mana-mana pihak termasuk pemilik harta tidak boleh memasuki atau mengambil alih harta tak alih tanpa perintah mahkamah.
“Undang-undang yang sama turut memperuntukkan bahawa walaupun penyewa gagal membayar sewa untuk tempoh yang lama, pengusiran secara paksa tetap tidak dibenarkan tanpa perintah mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Akberdin menyifatkan tindakan Nubhan yang didakwa memasuki kediaman berkenaan ketika Dr Afifah berada di luar negara, mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci rumah sebagai pelanggaran undang-undang.
“Walaupun rumah itu atas nama Nubhan, dia tidak boleh bertindak sesuka hati. Jika hendak mengambil barang atau mengosongkan rumah, dia perlu memohon melalui saluran undang-undang. Mengambil kesempatan ketika anak guam saya tiada di Malaysia adalah perbuatan yang salah,” katanya.
Menurutnya, selagi tiada perintah mahkamah, Nubhan tidak berhak memasuki kediaman berkenaan atau mengeluarkan barangan, sekali gus membuka ruang kepada tindakan sivil terhadapnya.
