
Oleh BIANCA HILMAN
KUALA LUMPUR: Kehilangan pelakon Malaysia, Nadia Kesuma, di Jeddah, Arab Saudi, terus menjadi perhatian apabila pihak berkuasa mengesahkan beliau telah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz sebelum dilaporkan gagal dikesan.
Menurut Kementerian Luar Negeri Malaysia, rekod imigresen Arab Saudi menunjukkan Nadia meninggalkan kawasan lapangan terbang selepas tiba di Jeddah pada 15 Januari lalu ketika transit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
Namun, sehingga kini, lokasi dan keadaan beliau masih belum dapat dipastikan.
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Kesumawati Abdul Karim dilaporkan tidak menaiki penerbangan sambungan ke London seperti dijadualkan.
Usaha untuk menghubunginya selepas itu gagal apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Keadaan tersebut mendorong keluarga membuat laporan polis di Malaysia, sebelum kes itu dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Jeddah.
Konsulat Malaysia kemudiannya mengemukakan laporan rasmi kepada pihak polis Arab Saudi bagi membolehkan siasatan dan usaha menjejaki pergerakan Nadia dilakukan mengikut undang-undang tempatan.
Menteri Luar Malaysia memaklumkan bahawa kerajaan melalui Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi, termasuk polis dan imigresen, bagi mengesan keberadaan Nadia selepas beliau meninggalkan lapangan terbang.
Kes ini kini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, dan siasatan sedang menumpukan kepada pergerakan terakhir beliau, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rekod perjalanan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan mesej terakhir Nadia yang kononnya mencurigakan menyatakan, , “I met strangers”.
Namun, suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan mesej berkenaan telah disalah tafsir serta tidak menggambarkan sebarang ancaman atau situasi luar biasa, tetapi istilah I met strangers itu merujuk kepada kenalan baharu ditemui isterinya dalam perjalanan mengerjakan umrah kali ini.
Pihak keluarga Nadia juga turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi mereka.
Dalam konteks lebih luas, kes kehilangan wanita asing di Arab Saudi bukan perkara yang sering berlaku, terutamanya melibatkan transit lapangan terbang.
