Thursday, April 2

Video 2023 dedahkan konflik keluarga Beckham

Susunan BIANCA HILMAN

LONDON: Sebuah klip video, aktres Nicola Peltz, isteri Brooklyn Beckham yang dengan wajah masam ditarik untuk bergambar dengan keluarga Beckham pada satu acara anjuran Netflix telah muncul semula, dengan pengulas dalam talian mendakwa ia membuktikan dakwaan Brooklyn tentang perselisihan faham isterinya yang lama dengan ibu bapanya, David dan Victoria.

Video dari tahun 2023 menunjukkan Nicola, yang ketika itu berusia 28 tahun, beratur untuk bergambar di sebelah keluarga Beckham, termasuk Victoria, David, dan tiga adik-beradik Brooklyn –  Romeo, Cruz, dan Harper, di acara karpet merah sempena majlis tayangan perdana dokumentari Netflix David Beckham berjudul, Beckham di London.

Kenangan tahun 1999 ketika pasangan David dan Victoria dikurniakan anak sulung mereka, Brooklyn.

Brooklyn kemudian menghulurkan tangan untuk menggalakkan Nicola menyertai bergambar bersama keluarganya sebelum dia dengan berat hati bergerak masuk dan kemudian kelihatan menjeling Victoria dan David dengan pandangan tegang.

Video itu tular selepas Brooklyn Beckham mengeluarkan kenyataan pada Isnin mengenai perbalahan keluarga yang berterusan, mendakwa bahawa ibu bapanya yang ‘mengawal’ telah cuba merosakkan hubungannya dengan Nicola yang muncul di samping Bella Hadid dalam siri The Beauty dan mula ditayangkan pada hari ini di Hulu.

Anak sulung pasangan Beckham, Brooklyn sebelum ini telah melancarkan ‘serangan’ yang mengejutkan terhadap ibu bapanya ketika dia akhirnya membincangkan perselisihan mereka pada malam Isnin.

Ketiga-tiga Nicola, Brooklyn, dan Victoria kelihatan tidak selesa ketika bergambar pada majlis tayangan perdana dokumentari Netflix, Beckham di London pada 2023.

Brooklyn berkongsi kenyataan enam halaman di Instagram, di mana dia meluahkan dengan tegas enggan berdamai dengan keluarganya dan mempertahankan dirinya ‘buat pertama kali dalam hidupnya’, mendakwa ibu bapanya mempunyai ‘naratif terkawal tentang keluarga kami’.

Dia  juga menyatakan dalam Instagramnya itu bahawa “Ibu bapa saya telah berusaha tanpa henti untuk merosakkan hubungan saya sejak sebelum perkahwinan saya, dan ia tidak berhenti”.

Jelas bahawa ketegangan telah timbul sejak sekian lama apabila video dari tahun 2023, setahun selepas Nicola dan Brooklyn berkahwin, mula beredar semula yang menunjukkan Nicola kelihatan tidak selesa di majlis tayangan perdana Beckham di London itu.

Komen netizen di bawah klip pada hari Isnin berbunyi: “Bolehkah bahu Victoria menjadi lebih dingin”, “Mereka kelihatan sangat tidak selesa di sini. Sedih”, “Mereka semua kelihatan gembira tapi…”.

Keluarga Beckham hadir pada majlis pelancaran dokumentari Victoria di Netflix pada 2025 tanpa kehadiran Brooklyn dan Nicola.

Brooklyn, 26, dan isterinya Nicola, 31, berada di tengah-tengah pertelingkahan dengan keluarga Beckham menyebabkan mereka menolak semua sambutan penting keluarga sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk ulang tahun kelahiran ke-50 David dan acara rasmi bapanya itu meraih gelaran ‘Sir’ di Istana Buckingham.

Brooklyn berkata keretakan dalam keluarga bermula semasa perkahwinan mereka pada April 2022 apabila dia mendakwa ibunya Victoria, 51, dan bapanya David, 50, ‘berterusan cuba’ merosakkan hubungan mereka.

Brooklyn (dua dari kiri) mengumumkan sudah ‘berpatah arang’ dengan keluarganya.

Dalam kenyataannya itu juga, Brooklyn mendakwa bahawa dia telah ‘dikawal oleh keluarganya yang obses menghargai kenaikan darjat dan pangkat di mata awam melebihi segalanya’ dan sejak bersama Nicola, dia telah menemui ‘kedamaian dan kelegaan’ selepas bergelut dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘kebimbangan yang melumpuhkan’.

Brooklyn juga mendakwa Victoria, yang mempunyai jenama fesyennya sendiri, VB, telah membatalkan penghasilan gaun pengantin Nicola pada ‘saat terakhir’ dan merampas tarian perkahwinan pertama mereka yang membuatkan dirinya berasa begitu ‘malu’ sehingga mereka memutuskan untuk memperbaharui ikrar perkahwinan mereka tanpa keluarganya pada tahun lalu.

Kenangan Victoria dan David di samping Brooklyn (kanan) dan Nicola.

Dia juga mengecam bapanya, kerana dia berkata dia berada di United Kingdom untuk menghadiri sambutan ke-50 David, tetapi mendakwa permintaan berulang kali untuk berjumpa dengannya terlebih dahulu diabaikan dan ‘apabila dia akhirnya bersetuju untuk berjumpa saya, ia adalah dengan syarat Nicola tidak dijemput’.

Dalam satu kenyataan yang ‘berapi-api’ dengan emosi, Brooklyn menulis: “Saya telah berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk merahsiakan perkara ini.”