
Oleh BIANCA HILMAN
LOS ANGELES: Billie Eilish, Olivia Dean dan Kehlani bukan sekadar naik ke pentas Grammy 2026 untuk meraikan kemenangan masing-masing, tetapi ketiga-tiga mereka berada dan berdiri di situ dengan pendirian tegas dan jelas agar agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) di Amerika Syarikat yang berleluasa dengan penuh keganasan terhadap rakyat marhaen negara itu ketika ini, segera dihapuskan!
Di tengah-tengah tindakan keras Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap imigran haram di Amerika Syarikat, ketiga-tiga penyanyi muda popular ini menggunakan platform besar dan berpengaruh Grammy untuk bersuara lantang – kali ini mengkritik tindakan kejam ICE yang disamakan pejuang kemanusiaan sebagai tindakan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Ketika berucap ketika menerima trofi kemenangan Lagu Terbaik Tahun ini menerusi lagu Windflower – satu daripada ‘Empat Anugerah Paling Utama’ (General Field Big Four) Grammy, pada malam Ahad, di sini (waktu tempatan) Billie, 24, mengakui dia berasa serba salah untuk berucap — namun bertegas mengatakan bahawa diam bukan pilihan.
“Walaupun saya rasa bersyukur (dengan kemenangan pada Grammy 2026), sejujurnya saya tidak rasa perlu mengatakan apa-apa, tetapi ‘tiada sesiapa yang menyalahi undang-undang di tanah yang dicuri’,” ucapnya penuh makna, dan lebih bermakna apabila anugerah Grammy 2026 yang diraih Billie disampaikan penyanyi veteran pemenang empat Grammy, Carole King yang menyemat pin tertulis perkataan ‘ICE OUT’ pada pakaiannya.
Ucapan itu jelas menyentuh isu imigresen dan sejarah penjajahan di AS, satu kenyataan yang kuat dan berani di pentas hiburan paling berprestij di dunia yang meraih tepukan gemuruh rata-rata selebriti yang hadir pada Grammy 2026 termasuk Sabrina Carpenter, dan anggota Huntr/x, Rei Ami, selain selebriti lelaki termasuk Bad Bunny, pemenang anugerah tertinggi Grammy 2026 – Album Terbaik Tahun Ini yang ketika berucap meraikan kemenangan, turut mengecam ICE.

Billie turut mengakui kekeliruan yang dirasai ramai ketika ini bahawa “Sangat sukar untuk tahu apa yang perlu dikatakan dan apa yang perlu dilakukan sekarang.”
Namun bagi Billie dan abangnya, Finneas yang hadir pada majlis Anugerah Grammy 2026 dengan memakai pin pada pakaiannya yang tertulis perkataan,‘ICE OUT’ (sepertimana penyanyi popular dan calon Grammy 2926, Justin Bieber dan isterinya, model Hailey Bieber, yang juga memakai pin yang serupa pada pakaian mereka), suaranya tetap perlu digunakan dengan menegaskan, “Saya rasa sangat berharap di ruangan (pentas Grammy 2026) ini… kita hanya perlu terus berjuang, bersuara dan membantah.
“Suara kita benar-benar penting. Orang ramai penting.”
Stesen TV yang menyiarkan majlis anugerah itu secara langsung, CBS bagaimanapun menapis satu kenyataan paling keras Billie — dua perkataan ringkas yang jelas menyasarkan agensi tersebut: “F— ICE.”

Mengikut jejak langkah Billie, ialah Olivia Dean, 26, dan Kehlani, 30, yang pertama kali menang Grammy pada acara tahun ini.
Olivia diumumkan sebagai pemenang salah satu Anugerah Paling Utama Grammy, Artis Baharu Terbaik; dan Kehlani yang menang dua Anugerah Utama, Persembahan R&B Terbaik dan Lagu R&B Terbaik menerusi single, Folded turut bersuara menentang kekejaman ICE dan pentadbiran Trump yang diselitkan ketika membuat ucapan kemenangan masing-masing di pentas Grammy 2026.
Malah Kehlani menghabiskan ucapan kemenangannya dengan melaungkan, “F— ICE!”
Pembunuhan Renee Good & Alex Pretti di tangan ICE
Kontroversi ini tidak bermula di pentas Grammy 2026. Sejuruskematian Renee Good, 37, seorang wanita kulit putih dan ibu tiga anak yang sama sekali bukan pendatang haram yang ditembak oleh seorang pegawai ICE di Minneapolis pada January 7, 2026, Billie dilaporkan memuat naik hantaran media sosial yang melabel ICE sebagai “Kumpulan pengganas yang dibiayai dan disokong oleh persekutuan.”

Tidak lama kemudian, pada 24 Januari tahun ini, seorang lagi individu, Alex Pretti, lelaki kulit putih yang juga jelas bukan pendatang haram, turut maut ditembak oleh pegawai ICE di bandar yang sama.
Terbaharu, media tempatan, ProPublica pada hari ini, 2 Februari 2026 melaporkan bahawa dokumen kerajaan Amerika Syarikat telah mengenal pasti dua pegawai persekutuan ICE yang menembak mati Pretti di Minneapolis sebagai Jesus Ochoa, seorang ejen peronda sempadan, dan Raymundo Gutierrez, seorang pegawai dengan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).
Menurut rekod tersebut, Ochoa, 43, dan Gutierrez, 35, adalah ejen yang melepaskan tembakan senjata mereka semasa konfrontasi hujung minggu lalu yang mengakibatkan kematian Pretti.

Tragedi penembakan itu mencetuskan demonstrasi meluas dan tuntutan baharu untuk siasatan jenayah terhadap tindakan penguatkuasaan ICE.
Sejurus selepas pembunuhan Pretti, pentadbiran Trump berulang kali mengemukakan dakwaan palsu tentang kejadian penembakan itu.
Pada masa kejadian itu, kedua-dua ejen tersebut sedang menyertai Operasi Metro Surge, satu inisiatif penguatkuasaan imigresen berskala besar yang dilancarkan pada bulan Disember.
Operasi itu mengerahkan ramai ejen bersenjata bertopeng di seluruh Minneapolis sebagai sebahagian daripada operasi di seluruh bandar.
CBP, agensi yang menggaji kedua-dua lelaki itu, enggan mendedahkan nama ejen yang terlibat secara terbuka dan hanya mengeluarkan sedikit maklumat tambahan tentang kejadian tembakan itu.

Kekurangan ketelusan mengenai ICE telah menarik perhatian yang lebih serius, terutamanya kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi ejen imigresen menembak dan membunuh Renee Good.
Kematian Pretti dan kerahsiaan yang menyelubungi identiti ejen telah terbongkar di tengah-tengah perdebatan nasional yang semakin meningkat mengenai dasar imigresen keras Trump.
Tindakan penguatkuasaan di bandar-bandar di seluruh AS yang dilakukan oleh ejen yang, secara kontroversi, dibenarkan menyembunyikan identiti mereka dengan topeng.
Ahli parlimen dari kedua-dua parti di AS sejak itu menggesa siasatan penuh dan telus dijalankan terhadap pembunuhan Pretti, yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai jururawat unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital Jabatan Hal Ehwal Veteran.
Susulan dua kes tragis itu juga, dalam satu Instagram Story, Billie secara terbuka mempersoalkan kebisuan rakan-rakan selebritinya dalam memberikan reaksi.
“Hei rakan-rakan selebriti saya, adakah anda akan bersuara? Atau…,” tulisnya ringkas tetapi pedas.

Konsisten bersama isu kemanusian – Dari ICE ke Palestin
Apa yang menjadikan Billie Eilish dan Kehlani berbeza bukan hanya keberanian mereka, tetapi konsisten. Selain lantang mengenai isu imigresen dan keganasan ICE di AS, Billie dan Kehlani juga dikenali sebagai selebriti yang menyokong padu nasib malang penduduk Palestin yang menjadi mangsa genosid Zionis Israel – satu pendirian yang selari dengan mesej kemanusiaan yang sering dibawanya.
Dalam beberapa kesempatan sebelum ini, Billie secara terbuka dan berani menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin, menolak keganasan terhadap orang awam, dan mengkritik penindasan yang berterusan — walaupun sedar risiko kecaman awam dan politik; malah namanya sehingga diukir oleh pada peluru berpandu tentera Zionis Israel.
Namun bagi Billie, isu-isu yang diperjuangkannya itu bukan trend — ia tentang nilai kemanusian yang semakin rapuh angkara penindasan.

Jenaka ‘laser’ di pentas, sindiran terhadap kuasa kejahatan
Ucapan Billie di pentas Grammy 20926 itu turut disusuli dengan sindiran oleh pengacara Grammy 2026, pelakon, penulis, penerbit, pengulas politik, pelakon dan pengacara televisyen Afrika Selatan, Trevor Noah, yang menyasarkan Trump sebagai bahan sindiran melalui jenakanya secara terbuka.
“Itulah Grammy yang setiap artis inginkan,” kata Noah, sambil menambah,“Hampir sama seperti Trump mahukan Greenland.”
Beliau kemudian menyambung dengan jenaka pedas mengaitkan Trump, Bill Clinton dan mendiang Jeffrey Epstein — yang baru-baru ini menjadi tumpuan semula selepas Trump mendakwa dokumen terbaharu Jabatan Kehakiman membebaskan pesalah yang dikaitkan dengan skandal seks membabitkan kanak-kanak bawah umur daripada sebarang salah laku.
Bila wanita glamor memilih untuk tidak diam
Dalam dunia hiburan yang sering mengutamakan imej dan keselamatan kerjaya, Billie Eilish, Olivia Dean dan Kehlani adalah tuga wanita yang biarpun bertaraf selebriti popular dan glamor Hollywood tetapi tekad dan nekad memilih jalan lebih sukar — bersuara walaupun tidak selesa.
Dan mungkin itulah yang menjadikan suara mereka penting.
Bukan kerana mereka sempurna. Tetapi kerana dia enggan diam angkara kekejaman kuasa kejahatan terhadap golongan marhaen.
