Thursday, April 2

Trump ancam saman hos Grammy 2026, Trevor Noah

Oleh BIANCA HILMAN

WASHINGTON:Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengacara Anugerah Grammy ke-68, Trevor Noah, selepas Noah membuat jenaka sinikal yang menyentuh nama Trump dalam ucapannya pada malam acara itu. 

Isu ini tercetus apabila Noah, semasa mengulas kemenangan penyanyi Biilie Eilish bagi kategori Song of the Year, telah membuat satu gurauan yang mengaitkan Trump dengan usaha mendapatkan Greenland dan kehilangan pulau milik Jeffrey Epstein.

“Itu adalah Grammy yang semua artis mahu — hampir sama seperti Trump mahu Greenland, yang masuk akal kerana pulau Epstein sudah hilang, dia perlukan satu tempat baharu untuk melepak dengan Bill Clinton.” 

Trump kemudiannya memberi maklum balas di platform media sosialnya, Truth Social, menafikan beliau pernah berada di pulau Epstein dan menuduh pernyataan Noah sebagai palsu dan memfitnah. 

Trump terus menulis bahawa dia akan ‘menghantar peguam untuk menyaman’ pengacara itu dan menggambarkan Noah sebagai “poor, pathetic, talentless, dope of an M.C.” serta berkata dia akan “berseronok dengan tindakan undang-undang” itu. 

Dalam kenyataannya, Trump juga menyifatkan satu lagi aspek acara itu (Grammy) sebagai ‘yang paling teruk’ dan ‘hampir tidak boleh ditonton’, serta menyelar stesen penyiaran CBS  yang menayangkan majlis anugerah itu secara langsung.

Trevor Noah, pelawak dan bekas hos The Daily Show, mengakhiri peranannya sebagai pengacara Grammy pada tahun ini selepas enam musim mengendalikan acara berprestij itu.