
Oleh BIANCA HILMAN
KETIKA dunia cuba membisukan suaranya, dia memilih untuk terus bersuara – demi kebenaran, kemanusiaan dan dirinya sendiri!
Dalam dunia hiburan yang berkilauan, di mana setiap senyuman sering menjadi topeng dan setiap gerak langkah diperhati jutaan mata, Melissa Barrera belajar satu hakikat paling pahit – bahawa menjadi benar tidak selalu bererti disenangi semua pihak.
Namun, bagi wanita berusia 35 tahun ini, keberanian untuk berdiri atas prinsip lebih berharga daripada sebarang sorotan kamera.
Namanya pernah menghiasi poster filem box-office, Scream 5 dan Scream 6, menjadikannya antara pelakon muda Latin paling menonjol di Hollywood.
Tetapi pada November 2023, Melissa menjadi tumpuan dunia bukan kerana lakonannya – sebaliknya kerana keberaniannya bersuara mengenai tragedi kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Namanya digugurkan daripada barisan pelakon Scream 7, siri ketujuh francais filem ‘slasher’ blockbuster Scream itu.

💥 Dari skrin ke realiti: Saat dunia berpaling
Ketika kebanyakan selebriti memilih diam, Melissa tampil di media sosial mengutuk kekejaman yang berlaku di Gaza.
Dalam satu hantaran di Instagram pada 22 Oktober 2023, dia menulis:
“Media Barat hanya menunjukkan sebelah pihak. Kita tidak memerlukan lebih banyak kebencian – katakan tidak kepada Islamophobia, katakan tidak kepada antisemitisme.”
Namun, dua hari kemudian, dunia hiburan seakan menghukumnya. Penerbit filem Scream 7, Spyglass Media, mengumumkan Melissa digugurkan daripada barisan pelakon Scream 7 dengan alasan tulisan dalam instagram miliknya dianggap sebagai antisemitik.
“Kami tidak bertolak ansur terhadap antisemitisme atau ucapan kebencian dalam apa jua bentuk,” kata jurucakap Spyglass kepada Variety.
Keputusan itu mencetuskan kecaman dan perdebatan hangat dalam kalangan peminat serta rakan seindustri. Bagi Melissa, ia menjadi permulaan kepada tempoh paling sukar dalam hidupnya.
“Ia adalah tahun paling gelap dan paling sukar dalam hidup saya,” katanya jujur dalam wawancara bersama The Independent.

🌹 Solidariti seorang sahabat: Jenna Ortega berdiri bersama
Ketika badai belum reda, namun cahaya kecil muncul dalam bentuk solidariti seorang sahabat. Aktres muda Jenna Ortega, 23, rakan gandingannya dalam Scream 5 dan Scream 6, membuat keputusan berani – menarik diri daripada Scream 7.
Media pada awalnya ketika itu menyangka keputusan Jenna berpunca daripada soal bayaran lakonan atau jadual padat penggambaran Wednesday musim kedua dan filem Beetlejuice Beetlejuice.
Namun, dalam wawancara bersama The Cut, Jenna akhirnya mengakui:
“Ia tiada kaitan dengan bayaran atau jadual penggambaran (projek filem lain). Apa yang berlaku terhadap Melissa (dengan produksi Scream 7) itu yang membuatkan semuanya berantakan.”

Keputusan itu menjadikan Jenna antara pelakon muda pertama di Hollywood yang secara terbuka menunjukkan solidariti terhadap isu kemanusiaan di Gaza – satu langkah yang jarang sekali diambil dalam industri yang terkenal berhati-hati dengan imej.
Malah, dalam satu temu bual pada acara karpet merah anjuran jenama tersohor fesyen, Dior di Paris pada 30 September 2025 ketika ditanya wartawan siapakah hero dalam hidupnya pada ketika ini, jawab Jenna: “Ibu saya sememangnya hero saya selamanya tetapi hero saya yang lain..saya agak tertarik dengan rakyat Palestin dan cara mereka bersuara… dan cara mereka menggunakan suara mereka secara berterusan tidak kira betapa dunia seolah-olah mengabaikan mereka. Ia sangat penting dan terpuji. Saya juga ingin turut mengangkat dan melaungkan suara mereka.”
⚡ Dari kejatuhan ke kebangkitan: Black Tides menjadi titik balik
Namun, kisah Melissa tidak berakhir dengan kejatuhan. Sebaliknya, tragedi itu menjadi bahan bakar kepada kebangkitan baru dalam hidupnya.
Kini, pelakon kelahiran Monterrey, Mexico itu sedang menjalani penggambaran filem baharu berjudul Black Tides — filem thriller survival-emosi arahan pengarah legenda Renny Harlin (Die Hard 2, Cliffhanger, Deep Blue Sea).
Lebih istimewa, Melissa digandingkan dengan aktor ikonik John Travolta serta anaknya, Ella Bleu Travolta.

Black Tides mengisahkan seorang bapa tunggal (Travolta) yang cuba membina semula hubungan dengan anak perempuannya, Rebecca (lakonan Melissa), dalam pelayaran yang berubah menjadi perjuangan getir untuk terus bernyawa apabila bot mereka diserang oleh sekumpulan paus pembunuh (orca) di perairan selatan Sepanyol.
Dalam watak ini, Melissa bukan sekadar pelakon – dia menjadi simbol kekuatan wanita yang berjuang di tengah lautan cabaran, baik di layar perak mahupun dalam kehidupan sebenar.
“Sesiapa yang mengenali saya tahu betapa impian ini menjadi kenyataan. Saya yang kerdil dan saya yang dulu sememangnya sangat teruja ketika ini,” tulis Melissa dalam instagramnya pada 22 Oktober 2025 mengulas mengenai filem, Black Tides.
“Tidak sabar untuk anda semua bertemu barisan pelakon yang luar biasa ini dan menonton filem yang indah ini.”
🌿 Lebih dari sekadar lakonan
Bagi Melissa, Black Tides bukan sekadar peluang kedua dalam kerjaya. Ia adalah pernyataan bahawa seorang wanita tidak akan pernah hilang sinarnya hanya kerana berani berkata benar.
Kini, dia kembali ke set, bukan dengan rasa takut, tetapi dengan keazaman baru.
Dan di luar layar, suaranya tetap lantang menyuarakan solidariti buat Palestin, bersama ratusan selebriti tersohor lain termasuk Billie Eilish, Jennifer Lawrence, Dua Lipa dan sudah tentu Jenna Ortega.
💬 Refleksi VooloraVoices
Apa yang berlaku kepada Melissa Barrera mengundang persoalan mendalam:
Adakah industri hiburan benar-benar bersedia menerima suara berani wanita — suara yang tidak takut mencabar arus dan mempertahankan kebenaran?
Di Voolora, kami percaya bahawa keberanian Melissa adalah cerminan kekuatan setiap wanita:
Untuk terus berdiri, walau dunia berusaha menjatuhkan.
Untuk terus bersinar, walau cahaya itu datang dari celah-celah kegelapan.
Kerana dalam setiap badai, selalu ada gelombang yang membawa kita ke daratan yang lebih bermakna.

Seperti yang diperkatakannya sebagai tanda solidariti buat penduduk Gaza, “Saya berdoa siang dan malam agar tiada lagi kematian, tiada lagi keganasan dan kewujudan bersama secara aman.
“Saya akan terus bersuara untuk mereka yang paling memerlukannya dan terus menyokong keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan kebebasan.
“Berdiam diri bukan pilihan untuk saya!”
✨ Melissa Barrera tidak sekadar pelakon. Dia adalah simbol – bahawa kebenaran, bila disuarakan dengan hati yang tulus dan ikhlas, tidak akan pernah tenggelam walau sejuta badai melanda atau halangan menjelma.
