Saturday, May 30

Rohana & Laoshi: Kisah cinta tanpa sempadan

Oleh DEANNA DEAN

Di sebuah rumah kecil di ibu negara, hubungan antara seorang gadis dan ibu angkatnya, wanita Cina menjadi bukti bahawa kasih sayang tidak pernah tunduk kepada garis bangsa, agama, atau status.

Nama gadis itu, Rohana Abdullah dan ibu angkatnya, Chee Hoi Lan yang dipanggil Laoshi,

Sejak berusia dua bulan, hidupnya ditentukan oleh keputusan besar seorang wanita Cina yang tidak mengenal batas penat, tidak memikirkan beban, tidak mengira kepayahan. Hanya percaya pada satu perkara bahawa seorang bayi tidak boleh dibiarkan tanpa kasih.

Laoshi menyelamatkan masa depan seorang anak kecil yang ditinggalkan ibunya, pekerja pembersihan warga Indonesia yang pulang ke negaranya.

Rohana membesar tanpa dokumen kelahiran, tanpa pengesahan kewarganegaraan, tanpa kejelasan tentang masa depan. Namun dia membesar dengan sesuatu yang jauh lebih kuat, pelukan Laoshi yang tidak pernah surut, walaupun pintu masa depan ketika itu masih gelap.

Setiap hari, Laoshi menghantar Rohana ke tadika, menunggu di luar kelas, memastikan makan minumnya teratur, menegur apabila perlu dan memuji apabila layak. Rohana sering berkata bahawa Laoshi tidak pernah menganggap dirinya sebagai orang luar.

Masuk usia 12 tahun, ketika kawan-kawan sebaya sibuk bercerita tentang kad pengenalan pertama, Rohana bergelut dengan hal paling asas, apakah negara yang mengiktiraf dirinya?

Tanpa dokumen, dia tidak boleh menduduki peperiksaan, tidak boleh mendaftar sekolah menengah, dan tidak mempunyai status sah di sisi undang-undang.

Laoshi, walaupun sudah berusia, sanggup berulang-alik ke pejabat kerajaan membawa fail biru yang penuh dokumen, cuba menjelaskan siapa Rohana, dari mana dia datang, dan mengapa dia layak mendapat hak sebagai seorang kanak-kanak Malaysia. Tangisan halus Laoshi pernah pecah di hadapan kaunter bukan kerana dirinya, tetapi kerana bimbang masa depan Rohana ditutup rapat tanpa belas.

Namun Laoshi tidak pernah berhenti dan Rohana tidak pernah berputus asa.

Ketika kisah viral, takdir mereka berubah. Pada satu ketika, kisah Rohana tular. Ramai tersentuh melihat seorang wanita Cina yang sudah melewati usia emas, tetap menjaga seorang gadis sebaik anak kandung.

Perhatian itu akhirnya membuka jalan: permohonan Rohana untuk menjadi rakyat Malaysia diluluskan. Untuk pertama kali dalam hidup, dia bukan lagi ‘tiada negara’.

Dia adalah Rohana Abdullah, rakyat Malaysia yang sah dan lebih penting kini mempunyai peluang menyambung hidup tanpa hierarki ketidakpastian.

Rohana ditawarkan tempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui Biasiswa Anak Emas, skim khas yang membiayai sepenuhnya pengajiannya.

Di sinilah kisahnya berubah daripada perjuangan hidup kepada cerita kejayaan. Dia menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer dengan CGPA 3.88, kemudian menyambung Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian).

Hari konvokesyennya menjadi detik paling menyentuh. Di kerusi tetamu, Laoshi duduk dengan bangga, tubuh kecilnya hampir tenggelam dalam jubah yang dipakai Rohana. Sesekali dia mengesat mata, bukan kerana sedih, tetapi ketabahan mereka akhirnya disahkan dengan skrol diploma.

Walaupun Rohana kini dewasa dan berdikari, hubungan mereka tidak pernah pudar.

Kisah Rohana dan Laoshi ialah kisah yang jarang hadir, tetapi apabila berlaku, ia menyentuh jauh ke dalam hati. Di saat perbezaan kaum sering dijadikan bahan retorik, kisah mereka menunjukkan bahawa yang menentukan hubungan bukan warna kulit atau bahasa, tetapi kemanusiaan.

Mereka membuktikan bahawa kadang-kadang, keluarga tidak ditentukan oleh siapa yang melahirkan, tetapi siapa yang hadir setiap hari, memberi makan, mendidik, memeluk dan mendoakan.

Rohana, gadis yang suatu ketika tidak diiktiraf dunia, kini berdiri sebagai graduan universiti, bukan semata-mata kerana kecerdikan, tetapi kerana seorang wanita Cina yang memilih untuk menyayangi tanpa syarat.