
Oleh DEANNA DEAN
Tragedi di Pantai Cenang, Langkawi, baru-baru ini menggemparkan apabila seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia yang baru berusia dua tahun meninggal dunia akibat disengat obor-obor ketika bermain di gigi air.
Kejadian itu berlaku begitu pantas, hanya beberapa saat selepas dia menjerit kesakitan, tubuh kecilnya mula lemah, dan keadaannya terus merosot sebelum disahkan meninggal dunia empat hari kemudian.
Insiden itu membuka mata ramai bahawa di sebalik keindahan pantai tropika, ada satu bahaya yang sering kita pandang remeh: obor-obor.
Bahaya obor-obor
Ramai melihat obor-obor sebagai makhluk yang cantik, jernih, lembut, melayang tenang mengikut arus. Ia tidak bersuara, tidak kelihatan ganas, malah ada yang menganggapnya seperti hiasan laut semula jadi.
Namun di sebalik rupa yang mempesona itu, tentakul (lengan atau jejari panjang) menyimpan ribuan sel penyengat yang mampu melumpuhkan mangsa dalam detik yang sangat singkat.
Obor-obor bukan ikan, bukan tumbuhan. Ia haiwan invertebrata yang amat ringkas tetapi sangat efisien. Ada yang hanya menyebabkan ruam ringan, tetapi ada juga spesies berbahaya seperti box jellyfish, antara hidupan laut paling berbisa di dunia. Spesies inilah yang dipercayai terlibat dalam kejadian di Langkawi.
Kehadiran obor-obor di pantai bukan perkara baharu, tetapi semakin kerap muncul apabila air laut panas, ombak menjadi perlahan atau selepas cuaca berubah. Kadang-kadang ia terdampar ke pesisir, dan tentakul yang sudah terputus sekalipun masih boleh menyengat.
Dalam suasana cuti sekolah, pantai menjadi destinasi utama ibu bapa untuk membawa anak beriadah. Namun, kes di Langkawi mengingatkan kita bahawa bahaya ini sangat dekat, terutama kepada kanak-kanak yang bermain di air cetek.
Peringatan untuk ibu bapa
Bagi para ibu yang selalunya lebih peka terhadap keselamatan anak, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, iaitu:
- Jangan lepaskan anak bermain sendirian di air walaupun pada paras buku lali. Obor-obor, terutama yang bertubuh lutsinar, hampir mustahil dilihat ketika bergerak di arus perlahan.
- Perhatikan bendera atau papan amaran di pantai. Jika ada tanda kehadiran obor-obor, lebih baik elakkan terus aktiviti laut pada hari itu.
- Bawa sebotol kecil cuka dalam beg pantai. Ia rawatan awal paling penting untuk mengurangkan sengatan spesies tertentu seperti box jellyfish. Sekali sembur, ia boleh menghentikan sel penyengat daripada terus melepaskan toksin.
- Ajar anak mengenal bentuk obor-obor dan jangan menyentuhnya walaupun sudah terdampar atau nampak “mati”. Tentakul yang kering pun masih mampu menyebabkan kesakitan yang kuat.
- Jika berlaku sengatan, jangan bilas dengan air tawar kerana ia boleh mengaktifkan lebih banyak sel penyengat. Gunakan cuka, keluarkan tentakul dengan berhati-hati, dan segera bawa ke klinik atau hospital.
Obor-obor memang cantik, malah kadang-kadang kelihatan seperti lampu hiasan terapung di bawah matahari. Namun, kecantikan itu datang dengan risiko yang tidak boleh dipandang ringan. Kes di Langkawi adalah peringatan bahawa pantai yang tenang pun menyimpan bahaya yang sukar dilihat mata kasar.
Sedikit ilmu, sedikit perhatian, dan sedikit langkah berjaga-jaga sudah cukup untuk memastikan percutian kita di pantai kekal menyeronokkan tanpa sebarang insiden yang meragut nyawa.
Pantai tetap indah dan laut tetap memikat. Cuma kali ini, biarlah kita menikmatinya dengan mata yang lebih berhati-hati.
