
Oleh DEANNA DEAN
HATYAI: Banjir besar yang sejak Jumaat lalu menyebabkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terjejas ketika bandar pelancongan popular ini tenggelam sehingga menutup jalan utama, memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan dan menutup hampir semua premis perniagaan.
Kementerian Luar pula mengesahkan semua rakyat Malaysia yang terlibat dilaporkan selamat. Namun, sebahagian mereka berdepan kesukaran mendapatkan makanan dan terkandas di hotel.
Dalam keadaan itu, pengalaman rakyat Malaysia menjadi gambaran paling jelas tentang suasana sebenar di lapangan.
Antara yang terperangkap ialah wartawan RTM, Wan Nur Asyikin, yang berada di Hatyai untuk tugasan. Beliau memberitahu bahawa mereka diarahkan untuk kekal di bilik hotel kerana air banjir di luar meningkat dan tidak selamat.
Laluan utama berhampiran hotelnya juga tidak dapat dilalui, menyebabkan pergerakan mereka terbatas dan hanya bergantung kepada informasi daripada pihak hotel dan konsulat.
Bagi seorang lagi pengunjung Malaysia, Lily Suraini, detik banjir itu bermula dengan bunyi amaran awal dari pihak hotel sebelum air naik lebih cepat daripada jangkaan.
Ketika makanan semakin berkurangan, bantuan daripada sukarelawan tempatan muncul sebagai penyelamat.
Beliau berkata, mereka menerima makanan panas, susu dan lampin pakai buang untuk anak kecil, bantuan yang sangat melegakan ketika kedai-kedai sekitar ditutup akibat banjir.
Laporan Malay Mail turut mengesahkan penghantaran 2,000 hidangan panas berasaskan tumbuhan ke beberapa hotel yang menempatkan rakyat Malaysia.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla segera menggerakkan pasukan kecemasan dan menghubungi rakyat Malaysia di lokasi banjir.
Arahan diberi supaya mereka berkumpul di lobi hotel apabila keadaan mengizinkan bagi memudahkan proses pemindahan. Pihak konsulat juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk menilai bila laluan selamat boleh dibuka bagi membolehkan evakuasi dilakukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kerajaan Malaysia sedang menyelaras dengan pihak berkuasa Thailand untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat dipindahkan secepat mungkin.
Beliau berkata, penggunaan kenderaan berat akan dipertimbangkan jika laluan biasa masih tidak dapat dilalui.
Dalam kenyataan terkini, Wisma Putra menasihat semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya kekal berada di dalam bangunan yang selamat dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa Thailand.
Mereka yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral Songkhla diminta berbuat demikian segera. Untuk bantuan kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian konsular +66 81-990 1930.
Walaupun terperangkap dalam keadaan yang mencabar, pengalaman rakyat Malaysia memaparkan ketabahan dan sokongan komuniti, daripada tindakan pantas sukarelawan tempatan, penyelarasan konsulat hingga keyakinan bahawa mereka akan dibawa keluar sebaik keadaan mengizinkan.
