Sunday, April 19

Shah Alam dilanda banjir: Jalan Kubu Gajah ditutup, laluan sekitar plaza tol terjejas

Oleh BIANCA HILMAN

SHAH ALAM: Hujan tanpa henti sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Shah Alam dan Klang dinaiki air, dengan laporan limpahan banjir mula dikongsikan orang awam serta pihak berkuasa tempatan sejak beberapa jam lalu.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Kubu Gajah, Kampung Budiman, Taman Desa Kemuning, Taman Seri Muda di Shah Alam, serta Kampung Delek, Kapar dan Meru di Klang.

Jalan Kampung Kubu Gajah 10 bersebelahan Jalan Kampung Gajah 5, Seksyen U17, Shah Alam pada Isnin, 24 November 2025 byang kini tidak boleh dilalui akibat kenaikan air yang tinggi (FOTO: MBSA)

Menurut hantaran di Facebook rasmi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), paras air dikesan meningkat di Jalan Kampung Kubu Gajah 10, bersebelahan Jalan Kampung Gajah 5, Seksyen U17. Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila Jalan Kampung Kubu Gajah 5 kini tidak boleh dilalui ekoran kenaikan air yang tinggi.

Anggota penguatkuasa MBSA juga telah menutup Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Taman Mesra, Seksyen U1, akibat paras air yang semakin meningkat susulan hujan lebat yang melanda Shah Alam.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan menggunakan laluan alternatif bagi keselamatan,” kata MBSA.

Anggota pasukan PANTAS MBSA menjalankan pemantauan di Sungai Damansara, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin, 24 November 2025 (FOTO: MBSA)

Dalam masa sama, anggota Penguatkuasa MBSA turut membantu memindahkan seorang warga emas di Lorong Desa Kemuning 2B, Taman Desa Kemuning, Seksyen 35, ke lokasi yang lebih selamat. MBSA turut mengesahkan bahawa Persiaran Budiman menghala ke Seksyen 25 juga mengalami kenaikan air.

Pasukan PANTAS MBSA melakukan pemantauan di beberapa hotspot banjir sekitar Shah Alam, termasuk di kawasan Sungai Damansara, Seksyen 13. Pemeriksaan mendapati paras air meningkat, namun sistem pam masih berfungsi dengan baik.

MBSA sekali lagi mengingatkan orang awam untuk mematuhi arahan pemindahan jika diarahkan, dan bagi kecemasan berkaitan banjir, orang ramai boleh menghubungi Pasukan PANTAS di 03-55105811.

Anggota Penguatkuasa MBSA telah menutup Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Taman Mesra, Seksyen U1, Shah Alam yang dinaiki air pada Isnin, 24 November 2025 (FOTO: MBSA)

Banjir kilat di Plaza Tol Shah Alam

Dalam perkembangan berkaitan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaporkan kejadian banjir kilat di laluan sebelum dan selepas susur masuk Plaza Tol Shah Alam.

Menurut kemas kini di Facebook rasmi PLUS, lorong kiri dan tengah, termasuk susur naik ke Persimpangan Shah Alam arah Selatan (Shah Alam–Seafield), kini terhalang.

Anggota Penguatkuasa MBSA membantu memindahkan warga emas di Lorong Desa Kemuning 2B, Taman Desa Kemuning, Seksyen 35 Shah Alam ke lokasi yang lebih selamat pada Isnin, 24 November 2025 (FOTO: MBSA)

Banjir turut menjejaskan laluan dari Lebuhraya Guthrie menuju ke Plaza Tol Shah Alam, menyebabkan lorong kiri tidak boleh digunakan dan trafik bergerak perlahan.

PLUS menasihatkan pengguna agar memandu dengan lebih berhati-hati, mematuhi arahan petugas serta papan tanda trafik, dan bersabar jika terperangkap dalam kesesakan.

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal serta peka dengan laporan perubahan cuaca. PLUS turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya mempertimbangkan perlindungan ‘special perils’ (bencana alam) bagi melindungi kenderaan daripada kerosakan akibat banjir.